fbpx

Gaji RM10,000 belum tentu lulus poligami

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar hiasan

“Aku mampu berpoligami sebab bergaji besar”.

Bait-bait kata ini mungkin acap kali bermain di fikiran atau bibir para suami yang berkeinginan atau merasakan dirinya mampu untuk berkahwin lagi.

Menurut Peguam Syarie, Muhammad Hariz Md. Yusoff, pendapatan si suami sama ada se­rendah RM3,500 atau mencecah RM10,000 sebulan bukanlah penentu untuk berpoligami.

Sebaliknya kata beliau, ia perlu ditentukan oleh pihak mahkamah berdasarkan kelayakan atau syarat yang tertakluk di bawah Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam di setiap negeri.

“Hasil penelitian, kebanyakan suami yang memohon poligami adalah berdasarkan hawa nafsu kerana merasakan diri berkemampuan dan boleh membahagiakan rumah tangga.

“Mereka juga mahu nampak hebat dalam ruang lingkup sosial.

“Di bawah kendalian saya, dianggarkan 80 peratus pasangan ambil keputusan untuk berkahwin di Siam dan daripada jumlah itu, ramai di antara mereka juga telah memohon penceraian di mahkamah,” katanya kepada Kos­mo! baru-baru ini.

Namun katanya, tidak dinafikan wujud juga suami yang bersikap ‘gentleman’ apabila mendapatkan persetujuan si isteri terlebih dahulu.

“Mereka siap buat perjanjian bertulis mengenai pembahagian harta sepencarian, nafkah dan giliran bermalam sebelum buat permohonan poligami di mahkamah.

“Setelah itu, mahkamah akan mempertimbangkan permohonan si suami selain alasan-alasan yang di­terima sebelum memberi kebenaran bernikah,” ujarnya.

Sementara itu, Peguam Syarie, Nurul Tasnim Abd Rahman pula berkata, poligami boleh berlaku kepada semua dan sering menjadi topik yang menarik untuk dibin­cangkan.

Akan tetapi katanya, perkataan poligami ini tidak enak untuk didengari atau diperkatakan para wanita kerana menggangap ia sebagai tajuk yang pa­ling sensitif.

“Dalam berpoligami, istilah ‘perlu mendapatkan kebenaran isteri pertama dahulu’ adalah tidak benar dan bertentangan dalam Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam di setiap negeri.

“Ini kerana, pernikahan secara poligami tidak memerlukan kebenaran isteri sedia ada tetapi suami yang ingin berpoligami perlu mendapatkan kebenaran Mahkamah Syariah,” jelasnya.

Katanya, apabila seorang lelaki yang ingin memohon pernikahan secara poligami, maka dia perlulah memfailkan permohonan berpoligami di Mahkamah Syariah, tempat dia bermastautin.

“Hakim akan mengambil kira kemampuan suami dari segi pendapatan semasa, komitmen, kewangan, bilangan tanggungan isteri dan anak-anak sedia ada termasuk isteri dan anak yang akan menjadi tanggungan baru,” katanya.

Dalam pada itu katanya, apabila keinginan dan kehendak mengatasi undang-undang, maka pasangan akan memilih ‘jalan belakang’ supaya dapat berkahwin walaupun tanpa kebenaran Mahkamah Syariah.

“Salah satunya mereka memilih untuk berkahwin di sempadan Thailand kerana bagi mereka prosedur perkahwinan di sana lebih senang dan cepat. Namun hakikatnya, mereka tidak sedar akan implikasi yang akan berlaku pada masa hadapan.

“Ia akan memberi kesan kepada proses pendaftaran sijil kelahiran anak di Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) selain menyukarkan proses membuat tuntutan di mahkamah,” katanya.

Kesimpulannya, mana-mana suami yang ingin berpoligami perlu beringat dan senitasa ‘tepuk dada dan tanya selera’.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI