LONDON – Pasukan Liverpool mempamerkan kebangkitan dramatik untuk merampas takhta pendahulu Liga Perdana Inggeris (EPL) dengan menewaskan Crystal Palace 2-1 di Stadium Selhurst Park sebentar tadi.
Pada aksi tersebut, skuad The Reds kendalian Jurgen Klopp membariskan kesebelasan terbaik dengan tonggak utama seperti Mohamed Salah, Luis Diaz dan Darwin Nunez diletakkan dalam kesebelasan utama.
Namun, Liverpool dilihat agak bergelut pada awal perlawanan dalam usaha menembusi benteng lawan meskipun mendominasi saingan dengan pasukan tuan rumah lebih kuat bertahan.
Bersambung pada separuh masa kedua, nasib Liverpool bertambah malang apabila Palace dihadiahkan sepakan penalti selepas pertahanan muda, Jarell Quansah menjatuhkan penyerang Palace, Jean Phillipe-Mateta.
Kesempatan tersebut digunakan sebaiknya oleh Mateta untuk meledak gol pertama perlawanan apda minit ke-57.
Tersentak dengan jaringan tersebut, Liverpool kembali memperkemaskan serangan dan tuah memihak kepada pasukan apabila penyerang The Eagles, Jordan Ayew diarah keluar padang selepas menerima kad kuning kedua pada minit ke-75.
Peluang tersebut digunakan sebaiknya apabila Salah terus meledak gol penyamaan berselang dua minit kemudian sekali gus mencipta sejarah peribadi dengan ledakan ke-150 sepanjang kempen EPL dalam kariernya.
Gol tersebut menaikkan semangat pasukan pelawat untuk memburu gol kemenangan yang akhirnya tiba pada masa kecederaan hasil jaringan pemain gantian, Harvey Elliot.
Keputusan 2-1 kekal sehingga tamat perlawanan dan Liverpool mendahului carta EPL buat sementara waktu dengan 37 mata sebelum aksi Arsenal menentang Aston Villa yang dijadualkan berlangsung 1.30 pagi nanti. – KOSMO! ONLINE