fbpx

Dividen Simpan SSPN 2023 dijangka meningkat

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar hiasan.

PETALING JAYA – Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) meramalkan peningkatan signifikan dalam kadar dividen Skim Simpanan Pendidikan Nasional (Simpan SSPN) untuk tahun 2023 berbanding dengan tahun sebelumnya.

Pengerusi PTPTN, Datuk Norliza Abdul Rahim berkata, pihaknya membuat jangkaan itu setelah menilai pertumbuhan keuntungan pelaburan dan trend prestasi cemerlang deposit Simpan SSPN yang terus meningkat setiap tahun.

Katanya, PTPTN mencatatkan pulangan pelaburan deposit Simpan SSPN sebanyak RM287.64 juta bagi tempoh Januari sehingga September 2023, sekaligus mencerminkan hasil yang lebih baik berbanding RM220.63 juta bagi tempoh sama tahun lalu.

“Peningkatan Kadar Dasar Semalaman (OPR) kepada tiga peratus pada 3 Mei 2023, sehingga kini membantu PTPTN memperolehi pulangan pelaburan yang lebih konsisten.

“Peningkatan keuntungan ini disokong oleh kaedah pelaburan patuh syariah berjangka pendek dan panjang di pasaran wang tempatan yang melindungi prinsipal, di samping memberikan pulangan yang tinggi dan positif.

“Pemantapan strategi pelaburan dengan menumpukan kepada simpanan tetap jangka panjang sudah berjaya meningkatkan pulangan pelaburan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau memberitahu, penglibatan dalam pelaburan dalam pasaran sukuk turut menyumbang kepada peningkatan hasil pelaburan, selaras dengan keazaman kerajaan untuk sentiasa menjamin dan melindungi keselamatan deposit di Simpan SSPN.

Justeru, beliau menyeru ibu bapa untuk membuat simpanan di Simpan SSPN kerana pelbagai keistimewaan dan faedah yang dinikmati pendeposit.

Kata beliau, antaranya ia merupakan satu-satunya produk simpanan yang memberikan pengecualian daripada anggaran cukai pendapatan ke atas simpanan bersih sehingga RM8,000 setahun.

“Selain turut memberikan perlindungan takaful ke atas pendeposit, Geran Sepadan sehingga RM10,000 untuk satu keluarga yang layak, simpanan yang dijamin kerajaan dan patuh syariah,” jelasnya.

Kata beliau, PTPTN akan terus komited untuk meningkatkan kesedaran masyarakat agar terus menabung di dalam Simpan SSPN bagi mengelakkan kebergantungan kepada pinjaman.

“PTPTN yakin usaha ini akan disokong oleh semua pihak bagi merealisasikan visi PTPTN sebagai ‘Peneraju Tabung Pendidikan Tinggi Negara’,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI