SHAH ALAM – Kedutaan Palestin mengingatkan orang ramai agar berwaspada dan tidak terpedaya membeli produk palsu yang kononnya datang dari negara itu di pasaran Malaysia.
Lambakan produk seperti minyak zaitun dan sabun kesihatan itu dikesan semakin dijual secara meluas termasuk menerusi atas talian sejak Oktober lalu.
Duta Palestin ke Malaysia, Walid Abu Ali berkata, hanya beberapa syarikat di Malaysia memperoleh sijil pengesahan pengeskportan daripada kementerian negara itu setakat ini.
Tegas beliau, pihak tidak bertanggungjawab bagaimanapun dikesan banyak menjual produk yang didakwa secara asli dari Palestin.
“Perkara itu dianggap serius kerana kita tidak mengetahui bahan atau kandungan sebenar produk berkenaan sekali gus meragukan pengguna.
“Justeru, saya memohon rakyat negara ini memeriksa kesahihan produk itu terlebih dulu sebelum membelinya bagi mengelak ditipu,” katanya ketika selepas merasmikan kempen ‘Palestin di Setiap Rumah’ di sini, hari ini.
Menurut Walid, cara terbaik membantu rakyat Palestin adalah dengan membeli produk asli keluaran mereka.
“Rakyat Palestin bukan hanya mahu meraih simpati namun melakukan perniagaan sebagai usaha membangunkan ekonomi.
“Menerusi perniagaan, segala sokongan kewangan dapat disalurkan ke negara kami dengan telus tanpa sebarang ketirisan,” ujarnya. -KOSMO! ONLINE.