fbpx

Usaha perkasa wanita dalam bidang TVET

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
AHMAD ZAHID sambil disaksikan Noraini (dua dari kiri) dan Fadhlina (kanan) ketika merasmikan program Jelita di ibu negara baru-baru ini.

PROGRAM Pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional (TVET) khas untuk wanita iaitu Jelita merupakan peluang terbaik untuk kaum Hawa menceburkan diri dalam pasaran guna tenaga.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata, program berkenaan merupakan inisiatif penting bagi memperkasa golongan wanita khususnya dalam pendidikan kemahiran, sekali gus meningkatkan kesejahteraan hidup.

“Usaha diperkenalkan ini sangat mustahak kerana wanita sering kali berhadapan dengan cabaran ekonomi dan sosial yang unik.

“Ia termasuk diskriminasi gender, perbezaan gaji dan kesukaran untuk memasuki bidang pekerjaan didominasi oleh kaum lelaki,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Pelancaran Jelita di ibu negara baru-baru ini.

Turut hadir adalah Pengerusi Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (Risda), Datuk Noraini Ahmad dan Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek.

Untuk rekod, pada awalnya, program diterajui oleh Risda itu menyasarkan penyertaan hanya 15,000 peserta.

Pun begitu, Ahmad Zahid yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah berharap, jumlah penyertaan akan mencecah sehingga 150,000 peserta menjelang 2026.

Program berkenaan memberi tumpuan kepada enam kumpulan sasaran wanita untuk memperkasakan ekonomi kaum berkenaan melalui pengembangan bakat, kemahiran, keterampilan dan pengetahuan.

Dalam pada itu, Ahmad Zahid berharap agar program Jelita akan dilaksanakan secara sistematik dan tersusun, sekali gus melahirkan peserta wanita berdaya saing.

“Saya benar-benar berharap program ini bukan indah khabar daripada rupa.

“Bukan hanya melepaskan batuk di tangga, tetapi disusun dengan penuh penelitian.

“Ia mestilah merangkumi pelbagai kursus latihan yang relevan dengan pasaran semasa termasuk keperluan industri.

“Program ini juga perlu fokus kepada daya tahan kelestarian dan keusahawanan,” tambahnya.

Untuk makluman, program Jelita bakal menawarkan 10 bidang kemahiran dan pensijilan yang lebih tinggi dan luas.

Selain 74 rakan strategik, Kolej Universiti Agrosains Malaysia dan Universiti Teknikal Malaysia Melaka dipertanggungjawabkan sebagai penyelia latihan serta fasilitator untuk menyediakan tenaga mahir berkualiti dalam kalangan wanita.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI