PETALING JAYA – Tenaga Nasional Berhad (TNB) memberi jaminan penyaluran bekalan ke semua pintu masuk melibatkan Kompleks Kastam, Imigresen dan Kuarantin (CIQ) di Semenanjung stabil dan berdaya harap.
Ketua Pegawai Rangkaian Pembahagian TNB, Wan Nazmy Wan Mahmood berkata, berhubung kerja henti tugas bekalan tenaga di CIQ Bangunan Sultan Iskandar (BSI), Johor Bahru, ia dibuat dengan kebenaran pihak Kementerian Dalam Negeri (KDN) dan Jabatan Kerja Raya (JKR).
“Bagi kerja penyelenggaraan di CIQ BSI, prosedur operasi standard (SOP) penyelenggaran turut melibatkan TNB menawarkan set janakuasa bergerak kepada pemilik premis.
“Namun TNB tidak dapat menyediakan bekalan elektrik sementara menerusi set janakuasa bergeraknya di CIQ BSI berikutan masalah had ketinggian untuk memasuki kawasan bangunan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Selasa lalu, TNB menutup bekalan ke BSI untuk melaksanakan henti tugas bernotis bagi kerja-kerja selenggaraan berjadual mulai jam 8 malam sehingga awal pagi keesokannya.
Sepanjang tempoh itu, bekalan sementara bergantung kepada tujuh buah set janakuasa milik BSI dan berlaku gangguan bekalan apabila satu daripada set janakuasa tidak berfungsi.
Mengulas lanjut, Wan Nazmy berkata, tanggungjawab TNB adalah memberi bekalan sehingga stesen suis pihak pengguna yang mana kemudiannya diagihkan melalui pencawang dalaman mereka.
“Pembekalan sehingga ke premis pengguna akan disemak oleh TNB setiap enam bulan, selain selenggaraan berjadual setiap 18, 24 atau 36 bulan bergantung kepada jenis alat suis pada pepasangan TNB,” ujarnya.
Justeru, Wan Nazmy berkata, pihaknya kesal dengan ketidakselesaan yang dihadapi pengguna semasa gangguan bekalan di CIQ berkenaan.
“Sebagai langkah ke hadapan, TNB mengenalpasti dua sumber alternatif bagi membekalkan tenaga elektrik ke kompleks tersebut.
“Perkara ini sedang diperhalusi bersama Kerajaan Negeri Johor yang telah menjelaskan bahawa gangguan bekalan elektrik sementara pada hari kejadian bukan berpunca daripada TNB,” jelasnya. – KOSMO! ONLINE.