fbpx

Tiada CCTV di lokasi penemuan Zayn Rayyan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Fakhrudin hadir ke lokasi penemuan Zayn Rayyan bagi mengesan bukti yang boleh manbantu siasatan polis.

PETALING JAYA -Tiada rakaman televisyen litar tertutup (CCTV) dipasang sekitar lokasi penemuan mayat kanak-kanak autistik, Zayn Rayyan Abdul Matiin, 6, yang dijumpai malam kelmarin.

Menurut Penyelia Badan Pengurusan Bersama (JMB) Apartment Idaman, Damansara Damai, Nor Haizam Hidir berkata, CCTV hanya dipasang di kawasan terpilih iaitu di laluan keluar, blok J, kawasan surau serta dewan.

Ujarnya, apartment terbabit mempunyai 18 blok dengan sebanyak 2,484 unit rumah serta kedai.

“Kawasan yang kanak-kanak ditemui bukan bawah kawal selia JMB. Kita tidak pasti sama ada kawasan itu milik persendirian atau kerajaan.

“Seterusnya, kita juga tidak mempunyai CCTV di sekitar blok kediaman mangsa.

“Bagaimanapun, rakaman CCTV mungkin boleh diperoleh oleh penduduk yang memasangnya secara persendirian,”ujarnya ketika ditemui di Pejabat JMB, di sini, hari ini.

Jelasnya lagi, pemasangan CCTV sangat terhad berikutan apartment terbabit berstatus kos rendah malahan, kos penyelenggaraan hanya RM33.60 sebulan.

Mengulas lanjut mengenai penduduk di apartment berkeluasan 22.75 ekar itu, beliau menganggarkan sebanyak 60 peratus penduduk adalah terdiri daripada warga tempatan manakala selebihnya adalah warga asing.

“Kita hanya dapat menganggarkan bilangan penduduk ini iaitu sebanyak 40 peratus adalah termasuk warga Indonesia, Filipina, Nigeria.

“Majoriti penduduk warga asing di sini adalah warga Indonesia,”jelasnya.

Eksekutif Pengurusan dan Kewangan JMB Apartment Idaman, Norasreta Ibrahim berkata, aktiviti bercucuk tanam di kawasan berhampiran itu berkemungkinan dilakukan oleh penduduk blok berhampiran.

Dalam pada itu, pihaknya sedang merangka penambahan CCTV dan pemasangan pagar namun ia bergantung kepada kesepakatan para penduduk mengenainya. -KOSMO! ONLINE.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI