MISI untuk menamatkan kemarau 21 tahun trofi Piala Malaysia menjadi ‘azimat’ buat skuad Terengganu FC (TFC) menjelang aksi final menentang Johor Darul Ta’zim (JDT) di Stadium Nasional Bukit Jalil malam ini.
Pengendali skuad ‘Penyu’, Tomislav Steinbruckner mengakui kejayaan skuad 2001 masih lagi diperkatakan ketika ini dan sudah menjadi tanggungjawab pasukan berusaha sehabis baik dalam usaha melakar kemenangan.
Kata Steinbruckner, pasukannya turut selesa dilabel underdog pada aksi final nanti memandangkan JDT adalah pilihan utama berdasarkan status mereka selaku juara bertahan.
“Harus diakui kami hadir ke perlawanan ini dengan harapan besar memandangkan sudah lebih 20 tahun TFC tidak menjulang trofi Piala Malaysia. Ini adalah perlawanan yang penting dan sudah pasti memberi cabaran buat pemain.
“Kami tidak boleh menjanjikan apa-apa tetapi apa yang boleh saya katakan semua pemain akan beri yang terbaik selain kita juga perlu harapkan tuah.
“Di atas kertas, JDT adalah pasukan pilihan kerana mereka juga memiliki rekod yang baik apabila bertemu kami sebelum ini tetapi kita perlu buktikan di atas padang apa sahaja boleh berlaku,” katanya pada sidang media semalam.
Sementara itu, kapten TFC, Habib Haroon anggap aksi final Piala Malaysia adalah yang terbesar buat rakan-rakan sepasukan membuktikan keupayaan sebenar selepas mengharungi musim panjang tahun ini.
“Sudah tentu ada tekanan kerana kami akan menentang pasukan terbaik di negara ini. Jadi ini bukanlah satu perlawanan yang mudah tetap semua pemain teruja menantikan aksi final ini.
“Setiap final akan jadi 50-50 dan apa sahaja boleh berlaku. Semua pasukan mahukan kemenangan dan begitu juga kami yang turun dengan misi untuk menang,” kata pemain import dari Bahrain berusia 23 tahun itu.