KLUANG – Minta dibungkuskan nasi lemak untuk dijadikan bekalan serta bersedekah kepada kawan-kawan menjadi petanda terakhir seorang anggota Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Kluang pergi menghadap penciptanya.
Permintaan yang tidak pernah dilakukan sepanjang bertugas selepas menamatkan persekolahan awal itu menjadikan tanda tanya kepada ibunya, Siti Bahayah Abdul khalid, 37.
Menurut Siti Bahayah, Muhammad Shahrul Haiqal Nazrol Douglas, 18, mula bertugas sebagai anggota APM selepas menamatkan persekolahan awal tahun ini.
Katanya, apabila Muhammad Shahrul yang juga anak sulung daripada enam beradik itu secara tiba-tiba membuat permintaan itu membuatkan tanda tanya pada dirinya dan lahir kebimbangan.
“Pada petang 1 Oktober itu saya turutkan permintaannya walaupun tercetus rasa bimbang apatah lagi mengetahui dia (Muhammad Shahrul) akan pulang lewat dari penugasan.
“Dan apa yang dibimbangkan menjadi nyata apabila menerima panggilan telefon daripada adiknya bahawa Muhammad Shahrul sudah tiada akibat terlibat dalam kemalangan ketika dalam perjalanan pulang ke rumah kira-kira pukul 2 pagi 2 Oktober lalu, “katanya ketika ditemui Kosmo! di sini hari ini.
Siti Bahayah berkata demikian selepas menerima faedah caruman iaitu Faedah Pengurusan Mayat (FPM) dan Faedah Orang Tanggungan (FOT) Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) Kluang di kediamannya di Lorong Dua, Kampung Baru, Kluang.
Ujarnya, apa yang menyedihkan adalah walaupun arwah sudah tiada namun jasanya pada keluarga akan kekal sepanjang hayat kami dan ia akan digunakan sebaiknya untuk perbelanjaan persekolahan adik-adiknya yang berusia antara tiga hingga 17 tahun itu.
Sementara itu, Pengurus Perkeso Kluang, Jainuddin Hamzah berkata, Muhammad Shahrul layak menerima faedah caruman selepas mencarum dalam Skim Pekerjaan Sendiri (SPS) AKTA (789).
Tambahnya, sebagai Orang Berinsuran, waris (ibu/bapa) layak menerima Faedah Orang Tanggungan (FOT) sepanjang hayat manakala adik-adiknya sehingga berusia 21 tahun atau ijazah pertama jika melanjutkan pelajaran ke Institut Pengajian Tinggi (IPT).
“OB juga layak menerima Faedah Pengurusan Mayat (FPM) sebanyak RM2,000 sebagai langkah mengurangkan beban keluarga untuk pengkebumian tempoh hari,”katanya.-KOSMO! ONLINE