KUALA LUMPUR – Mayat seorang lelaki warga Yaman sudah berbau busuk ditemui di rumah sewanya di sebuah apartmen di Jalan Metro Pudu 2, di sini, semalam.
Dia yang juga seorang penuntut sebuah kolej berusia 24 tahun ditemui selepas pihak polis menerima maklumat daripada orang awam kira-kira pukul 5 petang, semalam.
Ketua Polis Daerah Wangsa Maju Superintendan Ashari Abu Samah berkata, mayat berkenaan dibawa ke Institut Perubatan Forensik Negara (IPFN) Hospital Kuala Lumpur (HKL) untuk bedah siasat.
“Proses bedah siasat terhadap mayat lelaki berkenaan akan dijalankan hari ini bagi mengenal pasti punca kematian.
Setakat ini, kita mengklasifikasikan kes terbabit sebagai mati mengejut (SDR),” katanya ketika ditemui di Balai Polis Setiawangsa, di sini, hari ini.
Terdahulu, beliau bersama Ketua Polis Kuala Lumpur Datuk Allaudeen Abdul Majid dan Pengarah Jabatan Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti (JPJKK) Bukit Aman Datuk Seri Aidi Ismail hadir pada Majlis Perasmian Balai Polis Setiawangsa.
Dalam perkembangan berasingan, Allaudeen berharap tiada insiden tidak diingini berlaku menjelang perlawanan akhir Piala Malaysia di Stadium Nasional Bukit Jalil (SBNJ), malam ini.
“Kami memberi amaran tegas kepada mana-mana pihak yang cuba melakukan provokasi sepanjang perlawanan itu berlangsung nanti. Orang ramai dinasihatkan supaya mengikuti arahan pihak berkuasa di lapangan bagi mengelakkan kesesakan,” katanya.-KOSMO! ONLINE.