PETALING JAYA – Skuad hoki remaja lelaki negara terpaksa akur dengan kehebatan Australia apabila tewas 2-5 di Stadium Hoki Nasional, Bukit Jalil sebentar tadi, sekali gus gagal melangkah ke suku akhir Piala Dunia Hoki Remaja 2023.
Kekalahan itu menyaksikan Young Tigers menamatkan saingan Kumpulan A di tangga ketiga, terlepas dua slot yang menjadi milik Australia dan juara bertahan, Argentina selepas menewaskan Chile 8-0 hari ini.
Skuad bimbingan Muhamad Amin Rahim itu melepaskan tiga gol kepada Australia dalam tempoh 15 minit pertama menerusi jaringan Cooper Burns pada minit kedua, Jake Lambeth (m-6) dan Cambel Geddes (m-15).
Young Tigers bangkit merapatkan jurang menerusi jaringan Harris Iskandar Osman pada minit ke-21 sebelum Australia kembali melebarkan penguasaan menerusi gol kedua peribadi Lambeth berselang tuju minit kemudian.
Malaysia yang turun selaku tuan rumah tidak menyerah kalah dan menjaringkan gol kedua menerusi gol padang Shafiq Ikhmal Daniel Suzaini pada minit ke-44, tetapi ia cuma bertahan seminit sebelum Australia menjadikan kedudukan 5-2 melalui pukulan sudut penalti Geddes.
Situasi itu seakan-akan telah ‘membunuh’ semangat barisan pemain untuk cuba mencari sesuatu dalam baki 15 minit terakhir dan terpaksa menerima hakikat gagal mencapai sasaran suku akhir ditetapkan Konfederasi Hoki Malaysia (MHC).
Ia sekali gus menamatkan peluang skuad negara untuk mengulangi pencapaian tempat kelapan diraih sewaktu edisi 2021 di Bhubaneswar, India.
Begitupun, perjuangan Malaysia di kejohanan itu masih belum berakhir kerana mereka perlu bermain penentuan tempat kesembilan hingga 16 menentang Mesir di Stadium Hoki Nasional pada Isnin ini. – KOSMO! ONLINE