HANOI – Seorang pemuda, Nguyen Xuan Phuc dari wilayah Nghe An tengah memulangkan semula wang sebanyak 719 juta dong (RM138,358) yang dipindahkan secara tidak sengaja ke dalam akaun banknya, lapor portal berita VNExpress kelmarin.
Wang itu telah diambil balik oleh sebuah bank pada 29 November lalu kata seorang pegawai, selepas Phuc, 38, melaporkan kepada polis bahawa orang yang tidak dikenali menghantar 719 juta dong ke dalam akaun banknya.
“Seorang wakil bank menghubungi saya dan menawarkan diri untuk datang ke tempat saya untuk mengambil wang itu.
“Saya tidak mahu mereka melakukan perjalanan yang begitu jauh (kerana pengirim wang tinggal di lokasi berbeza). Jadi, saya menyatakan bahawa saya akan memulangkan wang itu kepada cawangan tempatan bank itu,” kata Phuc.
Pemuda itu berkata, dia terkejut dan bimbang selepas menerima wang itu pada bulan lalu.
Ini kerana dia tidak mempunyai sebarang kaitan dengan pengirim wang itu.
Dia dan isterinya kemudian meminta bantuan pihak berkuasa dalam mengesahkan identiti pengirim supaya dia boleh memulangkan wang itu.
Pegawai-pegawai menghubunginya beberapa hari selepas itu, mengumumkan bahawa mereka telah menemui pengirimnya.
Mereka berkata, pengirim telah memindahkan wang ke akaun bank Phuc secara tidak sengaja. – AGENSI