fbpx

Hanya kemenangan dicari Malaysia

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
MALAYSIA perlu bangkit daripada kekalahan di tangan Argentina kelmarin dan menewaskan Australia petang ini untuk layak ke suku akhir. – MUHAMAD IQBAL ROSLI

TIADA jalan pintas buat Malaysia yang wajib melakar kemena­ngan ke atas Australia pada aksi terakhir Kumpulan A di Stadium Hoki Nasional, Bukit Jalil petang ini untuk menjamin tiket ke suku akhir Piala Dunia Hoki Remaja 2023.

Ketua jurulatih skuad remaja lelaki negara, Muhamad Amin Rahim enggan menganggap ke­lebihan dimiliki para pemainnya memandangkan aksi itu akan berlangsung pada pukul 2 petang kerana ia masih belum menjamin peluang buat mereka.

Sebaliknya, Amin menuntut anak-anak buahnya memberikan prestasi 100 peratus secara konsisten sepanjang 60 minit dan mengelak daripada melakukan kesalahan sama ketika tewas 0-4 kepada juara bertahan, Argentina dalam aksi kedua kelmarin.

“Tempoh 36 jam dari malam ini (kelmarin) hingga Jumaat 2 petang, pemain kena buat proses persiapan dengan betul dari segi recovery, pemakanan, analisis video dan homework yang sepatutnya.

“Tiada alasan, tiada jalan pintas. Panas, hujan, salji… kita kena turun berikan segala-galanya dalam 60 minit sebab menang sahaja akan bawa kita layak ke suku akhir.

“Kita kena ambil peluang ini ke suku akhir. Apa yang berlaku hari ini (kelmarin) adalah pengajaran buat pemain. Ini pentas Piala Dunia, bukan tahap domestik, jadi mereka perlu ambil lebih tanggungjawab,” katanya.

Rekod pertemuan dilihat tidak memihak Young Tigers yang pernah tewas 0-8 kepada Australia pada Piala Sultan Johor (SOJC) 2022 dan kali terakhir menang ke atas bekas juara dunia 1997 itu sewaktu SOJC 2015 dengan keputusan 2-1.

Bagaimanapun, Amin percaya barisan pemainnya tetap mempunyai peluang jika menggunakan kelebihan dari segi kepantasan selain memanfaatkan pukulan sudut penalti untuk menewaskan Australia.

“Reaksi pemain kena pantas di atas padang dan struktur bertahan kita juga perlu lebih peka serta disiplin supaya tidak berlaku kesilapan mudah,” jelasnya.

Malaysia membuka kempen menerusi kemenangan 7-1 ke atas Chile, manakala Australia tumbang 0-1 kepada Argentina sebelum jaguh benua Oceania itu bangkit membelasah Chile ­dengan keputusan 7-1.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI