KOTA KINABALU – Dua kali penganjuran di Semenanjung dan satu malam di Singapura, atas permintaan peminat di Borneo, Ratu Rock Negara, Ella akhirnya memutuskan untuk ‘menerbangkan’ Konsert Jilid Akhir: Ella Puteri Kota ke Kota Kinabalu, Sabah pada awal tahun depan.
Bakal berlangsung di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC) pada 20 Januari 2024, Ella dijangka mendendangkan sekitar 30 buah lagu hitnya sepanjang 35 tahun bergelar anak seni.
Selain mewujudkan hasrat peminat mahu melihat penghibur serba boleh itu beraksi pada pentas konsert berskala besar di Sabah, langkah Ella membawa konsert yang sudah mendapat pengiktirafan Malaysia Book of Records (MBOR) sebagai ‘Most Concert Tickets Sold Out: 10,000 Tickets in 24 Hours’ itu ke negeri berkenaan dilihat suatu langkah bijak dalam meneruskan kejayan trak rekod Konsert Jilid Akhir : Ella Puteri Kota.
Mensasarkan kehadiran 6,000 hingga 8,000 penonton, konsert sama sebelum ini sudah berlangsung di tiga lokasi seperti Kuala Lumpur, Pulau Pinang dan Singapura.
Ella yang ditemui selepas jelajah konsert terbabit berkata, Konsert Jilid Akhir : Ella Puteri Kota edisi Sabah dianggap umpama hadiah serta penghargaan buat peminatnya yang sudah banyak menyatakan sokongan sepanjang lebih tiga dekad bergiat aktif dalam bidang seni.
Terkenal dengan perwatakan manja, Ella menyatakan walaupun mengambil masa agak lama untuk merealisasikan impian membuat konsert di Sabah tetapi sering datang ke negeri mendapat jolokan Negeri di Bawah Bayu untuk menjayakan persembahan pentas.
“Mengadakan konsert besar di Sabah memang sudah menjadi salah satu impian Ella sejak dulu.
“Tetapi baru sekarang ia terlaksana dan secara kebetulan Ella menyambut ulang tahun penglibatan ke 35 dalam industri muzik.
“Ella fikir ini adalah masa yang sesuai dan mahu peminat di sini mendapat memori indah bersama nanti,” katanya.
Ditanya sama ada terdapat sebarang kelainan pada penganjuran konsert di Sabah bulan depan, Ella berkata, elemen kejutan pastinya ada pada setiap lokasi konsert namun penghiburan berusia 57 tahun itu mahu peminat mengetahui sendiri hanya apabila hadir menonton konsert pada Januari nanti.
Bagaimanapun, Ella memaklumkan perbezaan mungkin terdapat pada susunan lagu selain bakal menyanyikan beberapa lagu permintaan daripada peminat di Sabah.
Ditanya sama ada mempunyai perancangan untuk menghasilkan filem dokumentari yang memaparkan kisah disebalik tabir dan perjalanan Konsert Jilid Akhir: Ella Puteri Kota, penyanyi yang cukup terkenal dengan imej manja itu tidak menolak kemungkinan tentang perkara berkenaan.
Menurut Ella, perbincangan tentang pembikinan dokumentari memang sedang dilaksanakan namun segala perkembangan berkaitan perkara itu hanya akan dimaklumkan kelak. – KOSMO! ONLINE