BAGAN DATUK – Dua buah bot nelayan tempatan yang melakukan aktiviti tunda haram ditahan Jabatan Perikanan di Sungai Burung di sini menerusi operasi dilaksanakan sejak 4 Disember lalu hingga hari ini.
Jabatan Perikanan dalam satu kenyataan memaklumkan, penahanan dua buah bot tersebut dilakukan oleh Cawangan Pemantauan, Kawalan dan Penyeliaan (MCS) Ibu Pejabat Perikanan bersama MCS Jabatan Perikanan Perak.
Katanya, operasi telah digerakkan bersama Pangkalan MCS Kg. Acheh dan Kuala Kurau melibatkan 20 orang anggota penguat kuasa perikanan dan aset laut.
“Program Pemantauan dan Pengawasan Vesel Penangkapan Ikan Tempatan Zon Barat Bil 6/2023 bermula pada 4 hingga 8 Disember 2023 secara khusus bagi membenteras aktiviti tersebut.
“Tindakan dibuat hasil dari aduan dan maklumat nelayan dan orang ramai berkaitan salah laku yang melanggar Akta Perikanan 1985 dan syarat-syarat pelesenan Jabatan Perikanan,” katanya hari ini.
Menurutnya, kedua-dua bot ditahan terbabit dikesan sedang melakukan aktiviti tundaan haram, yang mana ia merupakan satu kesalahan di bawah Seksyen 8(a) dan seksyen iaitu 11(3)(a) Akta Perikanan 1985.
“Tekong vesel pertama berjaya melarikan diri dengan terjun ke laut manakala satu lagi bot, seorang kru warga Myanmar berjaya ditahan.
“Kedua-dua bot dan orang yang disyaki telah ditahan di Pangkalan MCS Kg. Acheh , Perak bagi tujuan siasatan lanjut. Anggaran nilai rampasan adalah RM200,000,” katanya. – KOSMO! ONLINE