PETALING JAYA – Selepas lebih seminggu di masukkan ke hospital, penyampai radio, DJ Lin memberitahu terpaksa memujuk doktor yang merawatnya supaya membenarkan dia keluar dari wad walaupun keadaan kesihatan masih belum pulih sepenuhnya.
Ujar pengendali segmen Suria Cinta di Suria FM itu, dia tidak boleh tinggalkan pejabat terlalu lama kerana banyak urusan akan tertangguh.
“Saya terpaksa ‘lari’ dari wad sebab banyak kerja perlu diselesaikan lebih-lebih lagi menjelang hujung tahun.
“Keadaan pun semakin baik, cuma masih belum pulih sepenuhnya,” katanya.
Pemilik nama sebenar Roslinda Abdul Majid, 48, itu menambah, doktor ada membekalkan ubat-ubatan untuk dibawa pulang ke rumah dan dia perlu kembali ke hospital untuk rawatan lanjut.
“Kiranya dapat balik bersyarat, saya kena terus makan ubat dan ikut rawatan yang diajar, Selepas ini saya kena kembali semula ke hospital,” katanya.
Ditanya mengenai perkembangan Suria FM, DJ Lin berkata stesen itu mengucapkan terima kasih kepada pendengar yang terus menyokong tanpa jemu.
“Seperti biasa kita akan terus berikan yang terbaik kepada pendengar dan insya-Allah kami akan tampil dengan lebih segar dan baharu. Nantikan,” katanya.
DJ Lin yang juga Pengurus Besar Suria FM itu dimasukkan ke hospital sejak pertengahan bulan lalu selepas menghidap bronkitis sinus. – KOSMO! ONLINE