PETALING JAYA – Bekas pensyarah International Islamic University Malaysia (IIUM) yang juga warga Palestin, mati syahid apabila ditembak kereta kebal Zionis Israel, kelmarin.
Dr. Ismail Gamal Abu Sa’ada yang sebelum ini merupakan pensyarah jurusan Bahasa Arab Untuk Komunikasi Antarabangsa (Arcom) IIUM, menghembuskan nafas terakhirnya kira-kira pada pukul 11 pagi.
Ujar adiknya, Momin J Abusaada, ketika kejadian Allahyarham bersama keluarga yang menetap di kawasan sekolah terkejut mendengar bunyi serangan sebelum suasana bertukar menjadi huru-hara.
“Mereka berlari keluar dari pagar sekolah kerana panik dengan bunyi serangan tersebut. Sejurus sahaja keluar, Ismail ditembak oleh kereta kebal Israel,” katanya dalam satu hantaran di Facebook.
Momin juga berkata, seharusnya kawasan yang didiami oleh Allahyarham abangnya selamat kerana tiada kereta kebal Israel dan jauh dari kawasan pertempuran Gaza.
“Allahyarham duduk jauh dari kawasan pertempuran Gaza tetapi berdekatan dengan kem pelarian Al-Shati dan berdekatan juga dengan kawasan Al-Bayuk. Seharusnya selamat,” katanya.
Sementara itu, seorang bekas pelajar IIUM Pagoh, Muhammad Hanif Naim berkata, Dr. Ismail pernah mengajar dua kelas ketika beliau menjadi pensyarah secara sambilan.
Muhammad Hanif juga menyifatkan Allahyarham sebagai seorang yang penyabar dan sangat sopan.
“Sifat penyayang dan prihatinnya menjadi sebab kebanyakan pelajarnya senang hati belajar bersama arwah.
“Ada kawan saya juga memberitahu, ketika arwah mengajar dahulu, para pelajar mendengar bunyi dentuman bom yang sangat kuat. Tapi atas dasar kegigihannya, kelas tetap diteruskan,” katanya ketika dihubungi Kosmo!
Allahyarham Dr. Ismail pernah menjadi pensyarah sambilan di IIUM lebih setahun bermula pada September 2020.
Kemudian beliau menjadi Koordinator Akademik di Universiti Antarabangsa Amerika sejak Disember tahun lepas sehingga sekarang. – KOSMO! ONLINE.