KUALA LUMPUR – AEON BiG (M) Sdn. Bhd. berbesar hati apabila dapat menyumbang kepada Persatuan Sukan Orang Pekak Malaysia (MSDeaf), sekali gus menjadi penaja utama temasya Sukan Orang Pekak Malaysia (Sopma) edisi ke-21.
Pengarah Urusan AEON BiG, Sheikh Farouk Sheikh Mohamed berkata, ia merupakan antara program tanggungjawab sosial korporat (CSR) yang dilaksanakan menerusi program sukan.
Jelas beliau, Sopma kali ini dilihat sebagai pencapaian terbaik bukan sahaja bagi MSDeaf, malah komuniti orang pekak di seluruh negara termasuk Sabah dan Sarawak.
“Syukur setelah lima hari acara ini berakhir dengan baik di mana juara menjadi milik Sabah. Kami di AEON BiG amat bersyukur diberi peluang menjadi rakan utama Sopma ke-21.
“AEON BiG bukan mementingkan bisnes semata-mata tetapi turut menyumbang semula kepada komuniti seperti golongan kurang berkeupayaan yang memerlukan bantuan menerusi program CSR dengan menggunakan sukan sebagai medium,” katanya ketika menghadiri Majlis Penutupan Sopma Edisi ke-21, malam ini di sini.
Menurut beliau, AEON BiG bertindak sebagai pihak yang membantu mengurangkan kos keseluruhan penganjuran temasya sukan berkenaan.
“Kami memberi sumbangan berbentuk wang dan barangan yang membantu mengurangkan kos perbelanjaan daripada keseluruhan acara.
“Selain itu kami juga bawa rakan bisnes yang lain untuk membantu, contohnya sumbangan air untuk sepanjang program berkenaan berlangsung,” ujarnya.
Untuk perancangan akan datang pula katanya, AEON BiG bakal mengadakan kerjasama dengan beberapa program sukan lain pada tahun 2024.
“Pada tahun 2023 kami bukan sahaja terlibat dengan MSDeaf, sukan bola sepak dan memanah, malah Liga Besbol Kebangsaan 2023 juga.
“Minggu lepas pula kita ada tandatangan bersama dengan Terengganu FC untuk tahun 2024 dan bulan lepas, Harimau Malaya bagi Piala Asia pada Januari 2024.
“Selepas ini banyak lagi dalam senarai kami dan saya rasa mungkin lebih kepada sukan yang memerlukan pertolongan dan itu sasaran kami pada 2024, insya-Allah,” jelasnya.
Pada masa sama, beliau tidak menolak untuk terus bersama MSDeaf bagi edisi yang seterusnya, sekali gus membuka mata badan korporat yang lain untuk membantu.
“Rasanya bukan kami sahaja yang ingin membantu, jadi diharap ia dapat menarik dan membuka mata ahli-ahli dan badan-badan korporat lain untuk tampil menyumbang membangunkan sukan-sukan negara,” tambahnya. – KOSMO! ONLINE