fbpx

45 usahawan mikro asnaf bakal terima pembiayaan perniagaan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Rizal (paling kiri) menyaksikan penyerahan replika cek Bayaran Zakat Wakalah 2023 antara Pengerusi AIS, Datuk Wan Azhar Wan Ahmad (dua kiri) dan Pengerusi LZS, Datuk Seri Syed Anwar Jamalullail (dua, kanan) pada Majlis Pelancaran Program Pembiayaan Mikro Zakat di M Resort & Hotel, Jalan Damansara, Kuala Lumpur di sini hari ini. Foto oleh SYAKIR RADIN/KOSMO!

PETALING JAYA – Sebanyak RM225,000 zakat wakalah bakal diagihkan kepada 45 usahawan mikro asnaf di Barat Laut Selangor dan Kuala Selangor dalam masa terdekat ini melalui Program Pembiayaan Mikro Zakat Alliance Islamic Bank (Azam).

Ketua Pegawai Eksekutif Alliance Islamic Bank (AIS) Rizal IL-Ehzan Fadil Azim berkata, setiap penerima bakal mendapat dana sebanyak RM5,000 untuk pinjaman permulaan perniagaan setelah dikenalpasti dan disaring oleh Amanah Ikhtiar Malaysia (AIM) dan Lembaga Zakat Selangor (LZS).

Ujarnya, pembiayaan mikro ini berasaskan prinsip Qard di mana penerima hanya perlu membayar balik dana pokok pembiayaan tanpa adanya elemen untung atau bunga dalam tempoh masa setahun.

“Dana yang dibayar balik dalam tempoh setahun akan disalurkan semula ke tabung zakat untuk kitaran agihan pembiayaan seterusnya kepada asnaf-asnaf yang lain.

“Kemudian dana akan dikitarkan selama tiga tahun sahaja sebelum disalurkan secara langsung kepad asnaf sebagai sumbangan zakat biasa.

“Program sebegini adalah julung kali diperkenalkan di Malaysia. Selama ini zakat diberi untuk kemudahan asas tetapi kali ini kita bantu dengan beri modal dan pinjaman bagi penerima mengembangkan perniagaan,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam Majlis Pelancaran Azam dan Majlis Tandatangan Memorandum Persefahaman (MoU) antara AIS dan AIM, di di sini, hari ini.

Tambah Rizal lagi, semua kos pengurusan program ini akan ditanggung oleh AIS untuk tidak membebankan penerima pembiayaan yang terdiri daripada golongan miskin tegar.

“Kami berharap Azam menjadi perintis model kewangan sosial menggunakan zakat secara produktif yang berjaya membangunkan golongan usahawan asnaf melalui perniagaan, lantas mengubah status mereka daripada penerima zakat kepada penyumbang zakat di suatu hari nanti inshaAllah,” katanya.

Program Azam turut mendapat kelulusan Majlis Fatwa Selangor setelah diperkenalkan buat pertama kalinya dalam buku ‘Zakat dan Pembiayaan Mikro’ yang diterbitkan oleh AIS pada September tahun lepas.

Orang ramai yang ingin mendapatkan maklumat lanjut tentang Azam, boleh layari https://www.alliancebank.com.my/Islamic/zakat-microfinancing. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI