PETALING JAYA – “Tubuh dia betul-betul macam tidur mengiring…Allahuakbar, macam penat dan dia nak berehat.”
Demikian kata Faizol Najib Abdul Naim, 45, yang menjadi saksi pertama penemuan mayat kanak-kanak autistik di sebatang anak sungai berhampiran Apartment Idaman, Damansara Damai, di sini, malam tadi.
Katanya, gerak hati telah menggerakkan dia bersama empat lagi penduduk lain untuk mengikuti arus sungai sebelum menemui jasad mangsa sekitar 200 meter dari lokasi mangsa hilang.
“Saya tergerak hati untuk mencari di kawasan hujung anak sungai walaupun semalam Unit Anjing Pengesan (K9) sudah melakukan pencarian di kawasan ini.
“Keadaan kawasan sekitar amat gelap, ketika saya suluh di sungai saya melihat sekujur tubuh dalam keadaan mengiring,” katanya ketika ditemui di lokasi kejadian.
Tambah Faizol yang juga penduduk di kediaman berhampiran, penemuan mayat tersebut jelas memberikan kesan mendalam terhadap dirinya.
“Sayu hati saya apabila disahkan kanak-kanak yang ditemui itu adalah Zayn Rayyan, saya lihat lengkap berpakaian dengan lencana sekolah seperti ditularkan.
“Saya terus menghubungi rakan-rakan lain dan memaklumkan kepada polis yang sedang melakukan pencarian rumah ke rumah,” katanya.
Terdahulu, Kosmo! melaporkan mayat kanak-kanak autistik, Zayn Rayyan ditemui dalam keadaan tidak sedarkan diri kira-kira pukul 10 malam tadi.
Penemuan tersebut hasil kerjasama 40 anggota polis Petaling Jaya serta 60 wakil penduduk Apartment Idaman melakukan misi pencarian kanak-kanak tersebut, malam ini. – KOSMO! ONLINE.