fbpx

[VIDEO] Konflik Palestin-Israel: ‘Mak sangat rindu kamu’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Moamen ketika membuat liputan mengenai kematian keluarganya sendiri selepas kem Jabalia di utara Gaza dibedil Israel pada pagi semalam.

PETALING JAYA – “Sila jaga diri baik-baik. Mak sangat rindukan kamu. Mak doa setiap hari semoga Allah merahmati dan melindungi kamu daripada cedera dalam peperangan ini.”

Itulah pesanan terakhir daripada seorang ibu buat anaknya, Moamen Al-Sharafi sebelum terbunuh bersama 19 ahli keluarga yang lain akibat serangan tentera Israel pada awal pagi semalam.

Lebih menyedihkan, Moamen menerima khabar duka itu ketika sedang bertugas membuat liputan di selatan Gaza.

Moamen yang juga wartawan Al-Jazeera itu mengakui sudah kira-kira 45 hari tidak bertemu keluarganya di sebelah utara selepas terperangkap di selatan Gaza akibat serangan tanpa henti oleh rejim Zionis.

Menerusi perkongsian wartawan Palestin, Belal Khalid di Instagramnya, kelihatan raut wajah Moamen yang sedang menahan sebak ketika menyampaikan berita kematian keluarga tercinta.

Biarpun Moamen tidak mengalirkan air mata, namun suaranya semakin hilang di akhir laporannya itu sehingga dia terdiam seketika.

Beberapa saat kemudian, Moamen memberi isyarat sebagai tanda ‘okey’ ketika kru yang lain bertanya tentang keadaannya.

Jelasnya lagi, dia sedikit kecewa apabila keadaan genting di seluruh Gaza ketika ini menghalangnya untuk pulang menyempurnakan pengebumian jenazah keluarganya itu.

“Kepungan rejim Zionis menyebabkan kami yang terpaksa ke selatan dihalang balik ke utara untuk mengebumikan adik-beradik, ibu bapa, saudara-mara dan orang tersayang.

“Saya sendiri tidak dapat lihat wajah keluarga saya buat kali terakhir,” luahnya.

Menurutnya, sehingga kini jenazah ahli keluarganya masih terperangkap di bawah runtuhan berikutan pasukan penyelamat tidak mendapat akses ke kawasan tersebut.

“Israel melanggar semua undang-undang perang dan tiada siapa mengecam atau dapat melakukan apa-apa,” katanya yang turut berkongsikan rakaman mesej suara terakhir ibunya itu. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI