GUA MUSANG – Seekor ular sawa batik seberat 75 kilogram (kg) yang berada dalam semak berhampiran sebuah rumah ditangkap di Felda Chiku 1, di sini hari ini.
Pegawai Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Gua Musang, Mohd. Hanafi Mohd. Bokri berkata, pihaknya menerima aduan daripada penduduk pada pukul 10.23 pagi tadi.
Katanya, seramai enam anggota APM bergegas ke rumah pengadu yang terletak lebih 30 kilometer (km) dari bandar Gua Musang.
“Setibanya di lokasi, anggota APM mendapati seekor ular sawa batik sepanjang lima meter berada di dalam semak berhampiran rumahnya. Anggota mengambil masa lebih setengah jam untuk menangkap haiwan itu,” katanya ketika dihubungi hari ini.
Mohd. Hanafi memberitahu, ular sawa batik itu akan diserahkan kepada Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan). Ular sawa itu merupakan reptilia terberat yang berjaya ditangkap APM tahun ini.
“Justeru, orang ramai yang tinggal di kawasan berhampiran hutan atau semak dinasihatkan agar sentiasa berhati-hati dan berwaspada terutamanya ketika cuaca hujan,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE