KUALA LUMPUR – Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Seri Ayob Khan Mydin Pitchay memberi amaran kepada anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM) yang tidak mematuhi peraturan serta melakukan sebarang kesalahan membabitkan integriti.
Beliau hari ini menjadi salah seorang panel di dalam Forum Integriti ‘Bukan Lupa Tak Ingat’ di Menara Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP), di sini.
“Memang bukan sahaja dalam PDRM, agensi kerajaan mahupun swasta memang ada peraturan, undang-undang, prosedur operasi standard (SOP) dan sebagainya.
“Apa yang kurang bagi saya adalah penyeliaan. Sebagai pemimpin, penyelia perlu main peranan penting untuk memastikan anggota bawahan mengikut arahan serta undang-undang.
“Penyeliaan dan keberanian pemimpin atasan untuk ambil tindakan. Itu sahaja, kalau ia boleh diperkemaskan, insya-Allah banyak benda yang boleh diselesaikan,” katanya ketika berucap dalam forum berkenaan bersama Pencetus Ummah (PU) Amin.
Tambah beliau, pihaknya tidak akan bertolak ansur sekiranya terdapat anggotanya yang tidak berintegriti termasuklah tindakan perlucutan jawatan.
“Lupa dalam penugasan tiada tolak ansur sebab dah ada prosedur itu dan ia bukan alasan terlepas daripada tindakan. ‘Zero tolerance’ dan ada tindakan akan diambil.
“Keutamaan saya, kalau ada salah laku khususnya rasuah, cukup bukti saya akan buka kertas siasatan jenayah. Seterusnya, jika ia kes besar, saya salurkan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah (SPRM).
“Kurang bukti, hanya ada kenyataan individu, kita akan ambil tindakan tatatertib. Saya tidak akan buat tindakan dalaman kerana ia memakan masa lama,”tegasnya.
Sehubungan itu, beliau memberitahu tindakan tegas itu adalah sebahagian misi dan visi PDRM, malah seiring dengan kehendak kerajaan Madani dalam membanteras rasuah serta memperkemas tata kelolaan.
“Kita pastikan untuk memperbetulkan keadaan ini jika tidak, sampai bila-bila isu rasuah dalam kalangan penjawat awam tidak dapat dibanteras,” jelasnya. – KOSMO! ONLINE