SUNGAI BULOH – “Zayn memang dah tiada, tiada (tapi) sampai sekarang saya rasa Zayn masih ada, saya tak sangka berakhir macam ini,” kata Ismanira Abdul Manaf, 28.
Demikian luahan ibu kepada Zayn Rayyan Abdul Matiin, 6, berhubung penemuan anaknya yang meninggal dunia di sebatang anak sungai kira-kira 200 meter dari Apartment Idaman, pada pukul 10 malam tadi.
Ibu kepada kanak-kanak autistik masih sebak dan sukar menerima kenyataan bahawa kehilangan anaknya hampir 32 jam berakhir dengan kematian.
“Saya susah nak terima benda ini. Saya tak boleh tidur malam tadi. Sampai sekarang pun rasa Zayn masih ada, saya tak sangka berakhir macam ni, itu sahaja, saya tak boleh komen emosi tak stabil,” katanya kepada pemberita ketika ditemui di Hospital Sungai Buloh, di sini, hari ini.
Tambah Ismanira, meskipun anaknya sudah ditemui dalam keadaan tidak bernyawa, namun dia masih berharap agar pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) menjalankan siasatan lebih lanjut.
“Saya minta agar pihak polis menyiasat lebih lanjut lagi, saya taknak komen apa buat masa ini, saya serahkan pada pihak polis untuk buat langkah seterusnya.
“Saya ucapkan terima kasih kepada semua pihak termasuk PDRM, rakan media dan penduduk setempat, terima kasih banyak-banyak membantu cari Zayn,” ujarnya.
Malam tadi, Kosmo! melaporkan mayat kanak-kanak autistik, Zayn Rayyan ditemui dalam keadaan tidak bernyawa di sebatang anak sungai kira-kira 200 meter dari kediamannya, pada pukul 10 malam tadi.
Kanak-kanak tersebut dilaporkan hilang sejak tengah hari kelmarin dan kali terakhir ditemui adalah ketika memasuki kawasan belukar berhampiran Apartment Idaman, Damansara Damai, di sini.
Penemuan tersebut hasil kerjasama 40 anggota polis Petaling Jaya serta 60 wakil penduduk Apartment Idaman melakukan misi pencarian kanak-kanak tersebut di kawasan sekitar kelibat kanak-kanak itu dilihat. – KOSMO! ONLINE