TANJUNG MALIM – Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail menyelar tindakan pihak tertentu yang didakwa memutar belit kenyataannya berkaitan penguasaan bahasa Melayu dalam kalangan rakyat negara ini bagi permohonan pasport.
Tegas Saifuddin, beliau sama sekali tidak pernah menyatakan bahawa bahasa Melayu merupakan syarat untuk warganegara Malaysia memiliki pasport.
“Saya tidak pernah sebut bahasa Melayu merupakan syarat untuk mendapatkan pasport. Tak akanlah fakta semudah itu, saya naif sehingga tidak tahu.
“Jadi Lawyer for Liberty (LFL) tidak perlu putar belit lebih (isu penguasaan bahasa Melayu),” katanya dalam sidang akhbar selepas menyempurnakan Majlis Pelancaran Stesen Parol Daerah (SPD) Jabatan Penjara Malaysia dengan kerjasama Jabatan Sukarelawan Malaysia (Rela) di Kompleks Mini KDN di Slim River di sini hari ini.
Menurut Saifuddin, tiada penolakan permohonan pasport oleh Jabatan Imigresen disebabkan masalah bahasa, malah pada tahun ini sahaja, sebanyak 2.3 juta pasport telah dikeluarkan kepada pemohon.
Katanya, sekiranya terdapat penolakan, ia mungkin disebabkan kesalahan yang dilakukan pemegang pasport hingga menyebabkan permohonan mereka ditolak.
“Sebagai contoh, pemegang pasport Malaysia yang berada di luar negara dan melakukan kesalahan kerana tinggal lebih masa, jadi apabila mereka buat permohonan semula, sudah tentu akan ada semakan.
“Permohonan mereka itu mungkin akhirnya tidak lulus, itu sahaja. Bagaimanapun, (penolakan) disebabkan bahasa memang tiada,” ujar beliau. – KOSMO! ONLINE