SEBERANG PERAI – Penang Golf Resort Berhad (PGR) tampil dengan inisiatif tersendiri apabila buat julung kalinya melancarkan Program Golf Remaja dan Eksekutif sebagai usaha merakyatkan sukan golf dalam kalangan pelajar serta eksekutif muda.
Program yang direalisasikan hasil usaha sama dengan jurulatih golf profesional, Mohd. Rizam Ali atau lebih dikenali sebagai Pro Rizam itu dijalankan sebanyak empat peringkat berlangsung selama tiga bulan.
Pengurus Besar PGR, Sahul Hameed Muhamed Sultan berkata, pihaknya berharap program itu mampu menjadi platform terbaik dalam kalangan remaja yang cemerlang dalam sukan berkenaan untuk beraksi pada siri pertandingan golf antarabangsa di bawah kendalian Yayasan Kecemerlangan Sukan Malaysia iaitu Sport Excel.
“Untuk Program Golf Remaja ini, PGR menyasarkan sehingga 45 peserta bagi setiap peringkat bermula asas, pertengahan hingga lanjutan iaitu peringkat yang melayakkan mereka (peserta) menyertai mana-mana pertandingan golf berkaitan.
“Program Golf Eksekutif pula lebih terbuka dan kita berharap menerima sehingga 15 penyertaan bagi setiap peringkat dengan pembabitan daripada eksekutif-eksekutif muda yang sibuk bekerja, namun meminati sukan golf ini.
“Kita sasarkan penyertaan daripada sekolah-sekolah di sekitar Pulau Pinang bagi kategori remaja, manakala kategori eksekutif dibuka kepada mereka yang tinggal dan bekerja di seluruh utara Semenanjung,” katanya selepas majlis pelancaran program yang disempurnakan Datuk Bandar Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP), Datuk Azhar Arshad di sini hari ini.
Sempena pelancaran program, tetamu berpeluang menyaksikan permainan golf yang dikendalikan oleh pelajar-pelajar Pro Rizam selain menonton video inspirasi daripada Pengarah Eksekutif Yayasan Kecemerlangan Sukan Malaysia, Sivanandan Chinnadurai.
Dalam pada itu, Azhar memberitahu, usaha PGR untuk menganjurkan program berkaitan golf di peringkat usia remaja serta dalam kalangan eksekutif muda wajar menerima pujian.
Katanya, untuk jangka panjang, program itu dilihat mampu memberi impak yang besar terhadap industri golf sekaligus membuka lebih banyak peluang pekerjaan dalam bidang sukan ini.
“Kita jangan anggap golf ini sebagai sukan eksklusif iaitu untuk orang tertentu sahaja, sebaliknya perlu melihat sukan ini juga seperti sukan-sukan lain.
“Mungkin peralatan untuk bermain golf itu dilihat agak mahal bagi sesetengah orang. Tapi sebenarnya, ia hanya pada peringkat permulaan sahaja kerana peralatan ini biasanya tahan lama iaitu sehingga bertahun-tahun,” ujar beliau. – KOSMO! ONLINE