SHAH ALAM – Perolehan pertama melibatkan empat pesawat tempur ringan jenis FA-50 yang dibeli daripada Korea Selatan akan diterima Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) pada Oktober 2026.
Panglima Tentera Udara, Jeneral Tan Sri Mohd. Asghar Khan Goriman Khan berkata, pembelian keseluruhan 18 pesawat itu selesai dimeterai antara kerajaan Malaysia dan Korea Aerospace Industries (KAl) pada Februari lalu.
Jelas beliau, proses pembangunan pesawat ketika ini memasuki fasa fabrikasi di fasiliti pengeluar peralatan tulen (OEM) di Sacheon, Korea.
“Berdasarkan masa perolehan, penerimaan pesawat FA-50 itu akan dilaksanakan secara berperingkat dan dijangka bermula Oktober 2026.
“Empat pesawat pertama itu dijadualkan diterima sekitar bulan berkenaan manakala selebihnya pada 2027,” katanya ketika ditemui selepas menyempurnakan Hari Anugerah Kecemerlangan TUDM 2023 di Pangkalan Udara Subang di sini, hari ini.
Mengulas lanjut, kata Mohd. Asghar, perolehan pesawat itu akan dilengkapi persenjataan mengikut keperluan dan peranan sebagai pesawat Fighter Lead-In Trainer-Light Combat Aircraft (FLIT/LCA) seperti yang dimuktamadkan dalam kontrak.
“Keutamaan persenjataan pesawat perlu mempunyai kebersamaan dengan platform pesawat pejuang sedia ada.
“Konsep ‘open architecture’ membolehkan ia lebih meningkatkan keupayaan FA-50 untuk memenuhi kehendak pengoperasian TUDM,” ujarnya.
Dalam perkara berasingan, Mohd. Asghar berkata, perolehan 12 helikopter baharu yang diluluskan kerajaan akan meningkatkan keupayaan penugasan termasuk operasi mencari dan menyelamat (SAR). – KOSMO! ONLINE