SEGAMAT – Kehangatan perlawanan akhir Piala Malaysia 2023 antara pasukan Johor Darul Takzim (JDT) dan Terengganu FC (TFC) kian dirasai terutama bagi penyokong Harimau Selatan.
Rata-rata penyokong menzahirkan rasa teruja dan berdebar menunggu perlawanan itu yang diadakan di Stadium Nasional Bukit Jalil, Kuala Lumpur.
Menurut Kamarul Hadi, 29, walaupun tidak berjaya mendapat tiket untuk menonton di stadium, dia akan menyaksikan perlawanan akhir itu di Dataran Segamat di sini.
“Pihak Majlis Perbandaran Segamat menyediakan tayangan big screen bagi perlawanan akhir Piala Malaysia 2023 pada malam esok.
“Jadi saya dan rakan-rakan bercadang mahu bawa toto (selimut tebal) dan bantal jadi dapat tonton bola secara santai.
“Itu hanya perancangan awal, saya harap cuaca malam esok tidak hujan,” katanya ketika ditemui di Taman Yayasan, di sini hari ini.
Sementara itu, Mohd. Rahim Samad, 35, mengakui tidak mahu ketinggalan berniaga di Dataran Segamat malam esok sambil menonton big screen yang disediakan.
“Saya meniaga air balang, jadi sambil mencari rezeki boleh tonton perlawanan esok. Saya jangka JDT akan menang 3-1 dan Bergson akan jadi salah seorang penjaring gol,” katanya. – KOSMO! ONLINE