PETALING JAYA – Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO malam tadi membuat keputusan untuk memecat Ahli MKT UMNO, Isham Jalil.
Difahamkan mesyuarat berkenaan berlangsung selama kira-kira dua jam dan dipengerusikan oleh Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi.
Isham sebelum ini lantang mengkritik pendirian MKT UMNO yang bekerjasama dengan DAP di bawah Kerajaan Perpaduan yang dikatakan bertentangan dengan pendirian UMNO.
Semalam, Isham turut menolak cabaran Ahmad Zahid supaya tampil menghadiri mesyuarat berkenaan.
Sementara itu, Setiausaha Agung UMNO, Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki dalam satu hantaran di Facebooknya berkata, tradisi dan peraturan parti yang diamalkan sejak 1946 adalah meletakkan kedudukan parti lebih tinggi daripada individu.
“Semua keputusan dasar parti ditentukan secara syura dan kolektif bukan individu. Dasar dan Hala-tuju parti hanya boleh diputuskan oleh Majlis Kerja Tertinggi dan Perhimpunan Agong UMNO bukan individu atau mana-mana kepimpinan tertinggi termasuk Presiden.
“Pandangan berbeza dirai dalam mesyuarat, namun mesti menjunjung tinggi prinsip ‘decorum’ adab ‘bersetuju untuk tidak bersetuju’. Memelihara ‘sumpah atas nama Allah’ menyimpan kerahsiaan mesyuarat,” katanya. – KOSMO! ONLINE