KUALA LUMPUR – Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) sedang berusaha untuk melakukan penyelarasan semula subsidi bagi mengelakkan ketirisan subsidi minyak masak peket.
Timbalan Menterinya, Fuziah Salleh berkata, buat masa ini, tidak ada sebarang dasar yang menghalang golongan tertentu daripada membeli minyak masak peket.
“Apabila subsidi minyak masak peket diperkenalkan pada tahun 2016, tidak ada sebarang dasar yang mengatakan warga asing tidak boleh membeli.
“Jadi, apabila minyak masak peket ini berada di pasaran, amat sukar untuk kita mengawal warga asing untuk beli,” ulasnya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui di Majlis Pelancaran Kempen Beli Barangan Malaysia 2023 di Lulu Hypermatket & Department Store, Capsquare KL di sini hari ini.
Tambah Fuziah, ketika ini, pihak KPDN sedang mengenal pasti golongan atau individu yang layak menerima subsidi bersasar tersebut.
“Apabila kita sasarkan subsidi ini, sudah tentulah warga asing tidak termasuk dalam kategori penerima minyak masak ini,” katanya.
Tambahnya, kementerian menyifatkan hanya golongan B40 dan sebahagian M40 layak menerima subsidi yang dianggarkan sekitar 5.8 juta isi rumah tersebut. – KOSMO! ONLINE