fbpx

KKR teliti semula cadangan pelaksanaan tol tanpa palang

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar hiasan.

KUALA LUMPUR – Kementerian Kerja Raya (KKR) bersama Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) sedang meneliti semua aspek membabitkan pelaksanaan penggunaan tol tanpa palang iaitu Aliran Pantas Pelbagai Lorong (MLFF) seperti yang telah dirancang kerajaan terdahulu pada 2021.

Menterinya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata, beliau mengambil maklum isu MLFF seperti dilaporkan media yang mendakwa 32 syarikat konsesi tol lebuh raya membantah tindakan kerajaan menganugerahkan secara langsung projek berkenaan kepada sebuah syarikat swasta.

Pada masa sama, beliau turut mengakui, kerajaan terdahulu telah mendapat kelulusan secara prinsip dalam pelaksanaan MLFF.

“Tetapi, kelulusan ini hanyalah untuk memberi ruang kepada proses rundingan dijalankan di antara pihak-pihak yang terlibat dalam pelaksanaan MLFF ini.

“Meskipun perancangan dan proses-proses kelulusan awal telah bermula sejak 2021, namun sebagai Menteri Kerja Raya pada masa kini, saya menyedari perlunya beberapa penelitian dan tindakan penambahbaikan dilakukan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Terdahulu, sebuah media tempatan melaporkan bahawa Persatuan Syarikat Konsesi Lebuhraya Malaysia (PSKLM) membantah penganugerahan secara langsung projek MLFF kepada sebuah syarikat swasta untuk semua lebuh raya di negara ini.

Dalam kenyataan itu mendakwa, pihak kerajaan telah menandatangani “perjanjian pelantikan” dengan syarikat berkaitan YTL Corporation Bhd pada 17 Nov, memberikan projek bernilai RM3.46 bilion tanpa berunding dengan syarikat konsesi yang akhirnya akan membayar bil projek tersebut.

Mengulas kepada perkara itu, Alexander berkata, pada masa ini, pihak konsesi lebuh raya masih memegang hak mutlak untuk mengutip tol seperti dalam perjanjian konsesi yang masih berkuat kuasa.

“Atas dasar ini, saya dan pasukan kementerian sedang berusaha untuk memastikan kelancaran inisiatif MLFF ini supaya ia dapat menepati objektif yang diharapkan.

“Inisiatif ini memerlukan kerjasama dan sokongan yang menyeluruh bukan sahaja dari kementerian ini malah pihak konsesi dan juga pengurusan tertinggi Kerajaan Perpaduan,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI