fbpx

Inisiatif Payung Rahmah terbukti berjaya turunkan inflasi

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Fuziah (tengah) memotong riben pada majlis Pelancaran Kempen Beli Barangan Malaysia 2023 di Lulu Hypermatket & Department Store, Capsquare KL hari ini. - Foto oleh SYAKIR RADIN / KOSMO!

KUALA LUMPUR – Inisiatif Payung Rahmah yang dilaksanakan oleh Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) berjaya menurunkan inflasi pada kadar yang lebih rendah dalam masa setahun di bawah pentadbiran Kerajaan Perpaduan.

Timbalan Menterinya, Fuziah Salleh berkata, kadar inflasi tahun ini menurun kepada 1.8 peratus berbanding 4 peratus yang dicatatkan pada Disember 2022 lalu.

Menurutnya, kadar inflasi yang diukur dengan Indeks Harga Pengguna (IHP) tersebut merupakan antara yang terendah sejak April 2021.

“Melalui inisiatif Menu Rahmah dan Jualan Rahmah, pihak KPDN berjaya menurunkan indeks harga pengguna dalam dua subkategori, iaitu dalam subkumpulan makanan di luar rumah dan makanan di rumah daripada 9.6 peratus kepada 5.6 peratus.

“Ini membuktikan inisiatif Kerajaan Perpaduan membuahkan hasil kerana data dan nombor tidak menipu. Sehingga hari ini, inisiatif-inisiatif ini terbukti telah menyumbang kepada penurunan kadar inflasi,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui di majlis Pelancaran Kempen Beli Barangan Malaysia 2023 di Lulu Hypermatket & Department Store, Capsquare KL di sini hari ini.

Terdahulu, Kosmo! melaporkan, kerajaan bakal menyediakan RM200 juta untuk meneruskan Payung Rahmah sebagai manifestasi keprihatinan kerajaan dalam membela nasib rakyat.

Tambahnya, Program Jualan Rahmah yang menawarkan barangan keperluan asas pada harga sehingga 30 peratus lebih rendah akan diperluas ke lebih banyak kawasan DUN di seluruh negara.

Selain itu, Fuziah turut merasmikan Kempen Beli Barangan Malaysia (KBBM), salah satu inisiatif kerajaan untuk memerkasakan produk tempatan menerusi industri peruncitan.

Menurut Fuziah, kempen tersebut diadakan dengan tujuan menggalakkan pengguna di Malaysia membeli barangan tempatan selain untuk berbelanja dengan mengutamakan barangan buatan Malaysia.

“Kempen ini boleh dilihat dalam pelbagai bentuk pelaksanaan. Pihak kami menganjurkan pelbagai karnival dan ekspo jualan bertemakan pembelian barangan tempatan, pengiklanan promosi melalui media seperti media cetak, media elektronik, media digital dan marketplace.

“Pada tahun 2023, KPDN telah mengadakan lima kempen seluruh negara melibatkan Kempen Beli Barangan Malaysia dan kemuncaknya adalah pada 14 Disember ini di pusat beli belah IOI Putrajaya.

“Dengan inisiatif ini, kami berharap penyenaraian masuk atau penembusan produk-produk tempatan akan meningkat di pusat-pusat membeli-belah, pasar raya, hypermarket seta kedai-kedai serbaneka di Malaysia mahupun pasar raya luar negara,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI