BATU PAHAT – Seorang ibu sanggup berulang-alik sejauh 60 kilometer setiap hari selama lapan bulan ke Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) Kampus Pagoh di sini bagi memastikan zuriatnya dapat berjaya menggenggam diploma.
Pengorbanan tanpa kenal erti penat lelah Zainab Othman, 64, akhirnya merealisasikan impian anak bongsunya, Mohammad Izzat Hanafi, 22, menamatkan pengajian dalam Diploma Technologi Maklumat.
Menceritakan perjalanan kehidupan anak bongsu daripada dua beradik itu, Zainab berkata, anaknya menghidap masalah saraf mengecut sejak lahir selepas tulang pinggulnya patah dan menjalani empat kali pembedahan.
Akibatnya, kedua-dua kaki pemuda itu tidak boleh digerakkan selain pembesaran tubuh badan terbantut. Pergerakan tangan juga terbatas kecuali kepala yang sempurna.
“Dia mendaftarkan diri di Kampus Pagoh pada Julai 2019 dan semua urusan pergerakan ke kampus diuruskan ayahnya. Dia tidak boleh tinggal di asrama kerana kesukaran menguruskan diri.
“Dua bulan sebelum Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), ayahnya meninggal dunia jadi saya yang ambil alih menghantar anak ke kampus,” katanya ketika ditemui selepas Istiadat Konvokesyen ke-23 dalam sidang ke enam di Dewan Sultan Ibrahim Kampus Induk hari ini.
Dalam pada itu, Mohammad Izzat amat berterima kasih kepada rakan-rakan sekuliahnya yang selama ini sebagai penggerak kejayaannya ini.
“Namun, pengorbanan besar ibu untuk memastikan kejayaan ini amat besar sekali dan ia tidak akan terbalas oleh saya,”tambahnya lagi.- KOSMO! ONLINE