PUTRAJAYA – Kementerian Komunikasi dan Digital (KKD) akan mengadakan pertemuan bersama syarikat penyedia perkhidmatan aplikasi WhatsApp, Meta pada minggu depan.
Menterinya, Fahmi Fadzil berkata, pertemuan itu adalah bagi menyatakan kebimbangan pengguna aplikasi itu berhubung tahap keselamatan siber platform berkenaan.
“Ini satu trend membimbangkan kerana sebelum ini aplikasi telegram berlaku, tetapi sekarang merebak ke WhatsApp pula.
“Saya secara peribadi menerima aduan dari beberapa individu tentang akaun WhatsApp mereka telah dicuri oleh pihak yang tidak bertanggungjawab.
“Cybersecurity Malaysia juga mengeluarkan satu amaran tentang bahaya WhatsApp akaun yang telah diambil alih oleh penjenayah,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Penutupan Jelajah Anti-Scam Kebangsaan 2023 Peringkat Wilayah Persekutuan Putrajaya di Putrajaya Marriott Hotel, hari ini.
Terdahulu, CyberSecurity Malaysia hari ini, mengeluarkan amaran berhubung aktiviti penyamaran melalui akaun WhatsApp dengan menipu mangsa untuk memindahkan wang.
CyberSecurity Malaysia dalam kenyataan di laman Facebook memaklumkan terdapat aktiviti penipuan menggunakan aplikasi itu dengan pelaku menyamar sebagai individu dikenali mangsa sebelum menghantar satu pautan dan meminta mangsa untuk klik pada pautan berkenaan. – KOSMO! ONLINE