KUALA LUMPUR – Program Matrikulasi dan Asasi Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) adalah terbuka untuk seluruh warga Malaysia.
Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Mohammad Yusof Apdal berkata, pemilihan pelajar memasuki program itu tidak dibuat atas dasar bangsa atau agama.
“Sistem ini tiada kuota khusus untuk sesiapa sebaliknya berdasarkan kelayakan akademik, tetapi ada beberapa syarat tambahan seperti temuduga untuk program perubatan.
“Kaedah ini yang digunakan selama ini tiada membedakan, tetapi daripada segi peluang memang ada persaingan. Kita pilih bukan atas dasar bangsa, agama, atau negeri, yang kita lihat kelayakan,” katanya pada sidang Dewan Negara di sini hari ini.
Beliau menjawab soalan Senator Dominic Lau Hoe Chai mengenai aduan pelajar bukan Melayu sukar untuk memasuki program matrikulasi.
Mohammad Yusof berkata, program matrikulasi adalah salah satu daripada banyak peluang yang dibuka kepada lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) untuk melanjutkan pendidikan.
“Mereka ada pilihan lain yang tentunya membuka peluang. Kalau tidak berpeluang dalam matrikulasi, masuk asasi. Sistem terbuka. Tiada perbezaan. Ia hanya tentang pencapaian (akademik),” katanya.
Terdahulu, beliau memaklumkan, seramai 2,279 lepasan SPM berketurunan India memohon program asasi yang dikendalikan oleh KPT bagi Sesi Akademik 2023/2024 dan seramai 2,270 calon layak dipertimbangkan. – KOSMO! ONLINE