RANTAU PANJANG – Penduduk di Kampung Tersang di sini yang terjejas banjir bimbang dengan situasi banjir termenung yang melanda kawasan kampung itu ketika ini.
Meskipun cuaca panas sejak tiga hari lalu, banjir di kawasan rumah mereka tidak menunjukkan tanda-tanda untuk surut dalam masa terdekat.
Seorang penduduk, Siti Hasmah Che Omar, 28, berkata, berdasarkan pengalaman sebelum ini, banjir di kampung itu mengambil masa lebih seminggu untuk surut.
Katanya, keadaan itu menyebabkan air bertakung dalam tempoh lama hingga penduduk tidak boleh pulang ke rumah.
“Saya sudah berlindung di pusat pemindahan sementara (PPS) sejak 10 hari lalu. Banjir termenung yang berlaku ketika ini mungkin menyebabkan saya terus tinggal di PPS dalam seminggu lagi,” katanya di sini semalam.
Seorang lagi penduduk, Sanah Ya, 58, berkata, air banjir yang lambat surut menyebabkan kampung Tersang masih digenangi air sedalam 1 meter.
Katanya, selain rumahnya yang masih tenggelam walaupun tidak hujan, laluan masuk ke Kampung Tersang juga masih dinaiki air.
Dalam pada itu, jumlah mangsa banjir di Kelantan yang melibatkan kawasan Pasir Mas dan Rantau Panjang menurun berikutan cuaca panas sejak tiga hari lalu.
Setakat pukul 4 petang semalam, seramai 2,847 mangsa banjir ditempatkan di sembilan pusat pemindahan sementara (PPS) berbanding 3,260 yang direkodkan pada sebelah pagi.
Menurut laporan Info Bencana Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), sembilan PPS yang dibuka itu menempatkan sebanyak 910 keluarga.
Menurutnya, PPS Sekolah Kebangsaan (SK) Gual Tok Deh menempatkan mangsa paling ramai iaitu 792 orang, diikuti Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Baroh Pial (664), SK Gua Periok (252) dan Masjid Mukim Padang Licin (320).