KOTA BHARU – Mangsa banjir yang berlindung di pusat pemindahan sementara (PPS) di Pasir Mas mencatatkan penurunan pagi ini susulan cuaca cerah dan semakin baik sejak beberapa hari lalu.
Sekretariat Pengurusan Bencana Negeri Kelantan berkata, seramai 2,338 mangsa banjir daripada 839 keluarga yang masih berlindung di sembilan buah PPS setakat pukul 8 pagi tadi.
Menurutnya, jumlah itu mencatatkan penurunan sebanyak 309 orang berbanding semalam.
“Sembilan PPS yang dibuka di Pasir Mas adalah Sekolah Kebangsaan (SK) Gual Tok Deh, Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Baroh Pial, SK Gual Periok, Masjid Mukim Padang Licin, SK Gual Tinggi, SK Sri Kiambang, SMK Gual Periok, Madrasah Tasek Bakong dan SK Kedai Tanjong.
“Paras air Sungai Golok di Rantau Panjang menunjukkan paras berjaga-jaga manakala Sungai Golok di Kuala Jambu mencatatkan bacaan berjaga-jaga,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Menurutnya, sungai-sungai utama yang lain di Kelantan masih berada pada paras normal. – KOSMO! ONLINE