fbpx

Anak tahu ‘daddy’ di syurga – Balu Syed Danial

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Qistina ketika ditemui pemberita di luar galeri Mahkamah Tinggi Shah Alam, hari ini. - Foto oleh SADDAM YUSOFF / KOSMO!

SHAH ALAM – Balu kepada pengurus bank, Syed Muhammad Danial Syed Syakir berharap tragedi yang menimpa arwah suaminya empat tahun lalu tidak akan berulang dan berlaku kepada orang lain.

Qistina Ayu Rozhan, 32 berharap kes tersebut menjadi pengajaran kepada pembuli jalanan yang lain agar sentiasa mengingati bahawa perbuatan mereka boleh menyebabkan kesedihan kepada orang lain.

“Syukur alhamdulillah, akhirnya selepas empat setengah tahun selepas suami saya, Syed Muhammad Danial (ada keputusan hukuman). Kami sekeluarga bertenang sehingga saat akhir prosiding ini lengkap.

“Saya berharap perkara ini tidak berlaku kepada orang lain dan menjadi pengajaran terutama kepada road bullies (pembuli jalanan),” katanya ketika ditemui pemberita di luar galeri Mahkamah Tinggi di sini, hari ini.

Mahkamah hari ini menjatuhi hukuman penjara 16 tahun terhadap bekas pekerja Teknologi Maklumat (IT), Yee Wei Liang, 45, selepas didapati bersalah menyebabkan kematian terhadap Syed Muhammad Danial dalam kejadian di Lebuh Raya Utara – Selatan, empat tahun lalu.

Sementara itu, Qistina ketika memberikan kenyataan impak pada prosiding tersebut memaklumkan, berdepan trauma dan kesedihan sehingga memberikan kesan kepada kesihatan mentalnya susulan kejadian yang menimpa suaminya.

Dia yang membacakan kenyataan itu dalam nada sedih turut memberitahu, baharu sahaja habis berpantang pada 1 Ogos lalu iaitu sembilan hari sebelum kejadian meragut nyawa suaminya itu.

“Kemarahan, kekecewaan, kesedihan, kemurungan dan kesedihan yang tidak tertanggung telah menjadi teman saya.

“Walaupun umur anak empat tahun, dia tahu ‘daddy’ di syurga. Namun, itu tidak menghalangnya daripada menanyakan di mana ayahnya dan kenapa tidak bersama kami di saat kawan-kawannya bersama ayah masing-masing,” katanya.

Qistina Ayu yang merupakan kakitangan bank memberitahu, anaknya perempuannya itu akan mencari maklumat untuk mengenai ayahnya serta punca kematian.

“Sukar untuk membayangkannya sebab saya tahu kena ceritakan kebenaran kenapa ayahnya meninggalkannya terlalu awal.

“Akan datang, pasti dia akan mencari maklumat di internet untuk mengetahui kenapa ayahnya meninggalkan dunia. Seperti diajar di dalam Islam, kita reda dengan ketentuan dan ujian Allah dengan melakukan terbaik bagi meneruskan kelangsungan hidup,” katanya. – KOSMO! ONLINE

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI