BARISAN pemain Terengganu FC (TFC) dan Johor Darul Ta’zim (JDT) dijangka sukar untuk mencurahkan sepenuh jiwa menjelang aksi final Piala Malaysia esok andai keadaan padang Stadium Nasional Bukit Jalil (SNBJ) masih belum pulih sepenuhnya.
Pemerhati sukan negara, Datuk Dr. Pekan Ramli berkata, risiko kecederaan serius boleh menimpa barisan pemain kedua-dua pasukan jika permukaan padang tidak rata dan sempurna.
“Saya risau emosi pemain akan terjejas kerana sudah tentu mereka mengharapkan keadaan pada yang rata khususnya pada aksi final.
“Pastinya juga kebimbangan jelas dirasai oleh pemain yang mungkin tidak dapat beri sepenuh tenaga kerana risau dengan risiko kecederaan yang boleh dihadapi.
“Daripada aspek pasukan pula, saya lihat situasi tersebut boleh menjejaskan kelicinan tempo perlawanan memandangkan keadaan padang seperti yang tular ketika ini tidak begitu baik,” katanya ketika dihubungi Kosmo! semalam.
Sebagai rekod, pemilik kelab JDT, Tunku Ismail Sultan Ibrahim telah mendedahkan keadaan terkini padang SNBJ yang dilihat belum bersedia sepenuhnya untuk menganjurkan perlawanan skala besar seperti final Piala Malaya nanti.
Keadaan padang SNBJ menjadi ‘huru-hara’ selepas kumpulan terkemuka, Coldplay mengadakan konsert pada bulan lalu yang dihadiri kira-kira 75,000 penonton.
Sementara itu, Pekan berharap isu tersebut dapat dijadikan pengajaran segera oleh Perbadanan Stadium Nasional (PSM) agar tidak berulang lagi pada masa akan datang.
“Pada aksi Malaysia bertemu Kyrgzystan sebelum ini, keadaan padang sudah sempurna tetapi masalah berulang kembali apabila konsert diadakan.
“Memang pendapatan sangat penting tetapi perlu ada pantang larang yang ditetapkan oleh PSM agar isu sama tidak berlaku lagi pada masa depan,” katanya.