fbpx

3,000 topi keledar percuma kepada pengunjung Setahun Bersama Kerajaan Madani

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Anthony Loke.

PETALING JAYA – Sebanyak 3,000 unit topi keledar baharu yang akan diagihkan secara percuma kepada 3,000 pengunjung terawal sempena program Setahun Bersama Kerajaan Madani di Stadium Nasional Bukit Jalil, Kuala Lumpur bermula esok sehingga Ahad ini.

Menteri Pengangkutan, Anthony Loke berkata, ia adalah antara usaha kementeriannya menggalakan penunggang motosikal untuk sentiasa memastikan peralatan yang dipakai ketika menunggang atau membonceng kenderaan tersebut berada dalam baik dan selamat.

“Untuk keselamatan jalan raya, segmen yang penting adalah penunggang motosikal kerana mereka ini antara kumpulan yang paling banyak terlibat dalam kemalangan terutama kemalangan maut.

“Hampir dua per tiga kemalangan maut di negara kita melibatkan penunggang motosikal.

“Saya amat menitik berat penunggang motosikal ini mesti lebih peka kepada isu-isu keselamatan dan memandu lebih berhemah,” katanya ketika sesi wawancara khas Setahun Bersama Kerajaan Madani: Kementerian pengangkutan di saluran televisyen tempatan hari ini.

Sehubungan itu, beliau berkata, bagi memastikan penunggang motosikal memakai topi keledar yang betul dan selamat, pihaknya menyediakan ‘booth’ khas bagi mengagihkan 1,000 unit topi keledar setiap hari kepada pengunjung program.

“Kalau datang program Setahun Bersama Kerajaan Madani di pekarangan Stadium Nasional Bukit Jalil, kita menyediakan topi keledar secara percuma.

“Dengan syarat, bawa topi keledar lama untuk ditukar. Akan beberapa ribu unit topi keledar yang akan diberikan secara percuma,” kongsinya.

Sementara itu, antara aktiviti lain yang bakal disediakan oleh Kementerian Pengangkutan dengan kerjasama Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) adalah pendaftaran Program MyLesen Tahun 2024, pendaftaran JPJeID dan MyJPJ, kaunter bergerak JPJ Mobile, dan ‘Pocket Talk’. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI