TANJUNG MALIM – Sebanyak 20 Stesen Parol Daerah (SPD) diwujudkan bagi memperkasakan tindakan pemantauan dan penyeliaan terhadap banduan yang sedang menjalani program pemulihan dalam komuniti.
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, SPD yang diwujudkan melalui kolaborasi Jabatan Penjara dan Jabatan Sukarelawan Malaysia (Rela) itu mampu meningkatkan keberkesanan pemantauan melalui pelaksanaan intervensi yang efektif.
“SPD adalah pusat transit kepada Pegawai Parol dan Perkhidmatan Komuniti Daerah bagi tujuan pemantauan dan penyeliaan ke atas Orang Di Parol (ODP), Orang Bebas Berlesen (OBB) dan Penghuni Bebas Lesen (PBL).
“Kesemua SPD ini diwujudkan sebagai sokongan kepada 52 Pejabat Parol dan Perkhidmatan Komuniti sedia ada yang akan menggunakan ruang pejabat Rela daerah terpilih,” katanya pada sidang akhbar di Kompleks Mini Kementerian Dalam Negeri (KDN), Slim River, di sini hari ini.
Pada majlis sama, Saifuddin turut menyaksikan majlis menandatangani perintah tetap stesen parol antara Jabatan Penjara yang diwakili Nordin dengan Yahya yang mewaliki Rela.
Selain itu, turut diadakan majlis menandatangani Memorandum Perjanjian (MoA) antara Jabatan Penjara dengan Sime Darby Plantation Berhad yang diwakili Ketua Pegawai Operasi Huluan Malaysia, Jefrey Faizal Kamaruddin.
Selain Muallim, SPD juga terletak di Kerian, Perak, Kulim dan Bandar Baharu di Kedah; Seberang Perai Tengah, Pulau Pinang; Petaling dan Sepang di Selangor; Jasin dan Ayer Keroh di Melaka; Muar dan Mersing di Johor serta di Maran, Bentong dan Rompin di Pahang.
Selain itu, Port Dickson, Negeri Sembilan; Dungun, Terengganu; Gua Musang dan Pasir Mas di Kelantan, Lahat Datu di Sabah dan Betong dan Limbang di Sarawak. – KOSMO! ONLINE