PETALING JAYA – Enggan memungkiri janji membuatkan penyanyi Ayu Damit nekad merealisasikan persembahan di sebuah majlis korporat selepas tiga hari melahirkan anak keempatnya.
Katanya, dia menyedari kemunculan pada 2 Disember lalu mencetuskan kebimbangan disebabkan sepatutnya masih dalam fasa awal berpantang.
“Sebenarnya persembahan tersebut sudah diterima awal kerana saya pun tak sangka bersalin 17 hari lebih awal dari tarikh jangkaan, cuma saya tak mahu menyusahkan orang lain cari pengganti.
“Memang ramai yang luahkan rasa bimbang, Alhamdulillah semuanya berlangsung dengan baik kerana saya pun tak banyak bergerak sepanjang persembahan.
“Tiada paksaan pun, saya sendiri yang sedia beraksi kerana pegang pada janji biarpun suami serta pihak berkaitan sudah memberikan solusi lain,” katanya kepada Kosmo! Online.
Menurut pemilik nama sebenar Norayu Damit, 33, itu, sedari awal suaminya Syed Fauzi Syed Baharuddin melarangnya keluar, namun akhirnya pasrah selepas dia menyatakan sebab berbuat demikian.
“Saya tahu suami risau, tetapi kita tahu tahap kesihatan diri dan bawakan tiga lagu sahaja sebelum saya terus pulang usai persembahan.
“Terima kasih kepada yang mendoakan saya serta bayi kami dan tinggalkan kata-kata yang baik-baik, semoga kita semua sentiasa dalam lindungan Allah,” ujarnya.
Penyanyi lagu Hanya Di Mercu itu selamat melahirkan cahaya mata keempat, seorang bayi perempuan awal pada 2 Disember lalu dengan berat 2.3 kilogram (kg) secara normal.
Perkahwinan dengan Syed Fauzi pada 2009 dikurniakan Syed Nashrul Haikal, 14, Sharifah Alya Aryana, 11, dan Syed Aqif Najmi, 8 tahun.
Terdahulu, videonya beraksi membawakan tiga lagu termasuk bernada tinggi Hanya Di Mercu di sebuah gelanggang acara meraih perhatian disebabkan masih dalam pantang. – KOSMO! ONLINE