KUALA LUMPUR – Pelakon Roy Azman masih trauma dengan kejadian kereta yang dinaiki bersama isteri dan anak bongsu hangus terbakar pada Ahad lalu sehingga membuatkannya demam.
Roy atau nama sebenarnya, Zairosminan Abdul Rahman, 53, berkata, kebimbangan terhadap keselamatan dua insan kesayangan antara punca yang menjadikannya terus terbayang-bayang insiden terbabit.
“Saya demam terbayang-bayangkan lagi situasi isteri serta anak bongsu yang baharu berusia lima tahun itu kerana tak dapat digambarkan kalau ada apa-apa berlaku pada mereka.
“Syukur kerana waktu genting itu kami dapat terus keluar menyelamatkan diri selepas kenderaan dapat diberhentikan biarpun berdepan pula masalah brek.
“Banyak sangat Allah permudahkan bermula dengan amaran hon pemandu kereta lain sehingga ke urusan membuat laporan polis. Paling penting keluarga saya selamat,” katanya ketika dihubungi Kosmo! Online.
Dalam kejadian pukul 12.05 tengah malam Ahad lalu di Lebuhraya Utara Selatan arah Kuala Lumpur berhampiran susur keluar Putra Mahkota itu, kereta jenis Peugeot GCZ miliknya rentung.
Begitupun, Roy yang dalam perjalanan dari Puncak Alam untuk pulang ke rumah di Bandar Seri Putra mengatakan, punca kebakaran masih dalam siasatan.
“Kereta itu baru diambil dari bengkel di Ampang pada petang sama selepas siap ‘overhaul’, kemudian kami keluar makan dengan kawan-kawan di Puncak Alam.
“Kalau boleh tak mahu nak ingat lagi, cuma saya nak berterima kasih kepada semua pihak yang membantu kami anak-beranak,” katanya.
Terdahulu, pelakon yang dikenali menerusi filem Sembilu itu memuatnaik video dan gambar keretanya sedang terbakar dalam Instagram dan Facebook yang mencetuskan pelbagai reaksi.
Roy turut mendedahkan kejadian terbabit adalah pengalaman paling ngeri yang pernah dilalui. – KOSMO! ONLINE