TOKYO – Seorang pemandu teksi diberkas selepas melanggar mati seekor burung merpati di Tokyo, Jepun, lapor akhbar The Maniachi semalam.
Atsushi Ozawa, 50, dari Nakano didakwa melanggar undang-undang perlindungan hidupan liar dengan merempuh kawanan merpati sehingga membunuh salah seekor haiwan itu.
Kejadian berlaku sekitar pukul 1 tengah hari (waktu tempatan) pada 13 November lalu.
Menurut Balai Polis Shinjuku, teksi dipandu Ozawa tidak mempunyai penumpang ketika kejadian. Dia dilaporkan memecut laju sehingga melanggar kawanan merpati selepas lampu isyarat bertukar hijau.
Seorang pejalan kaki berusia dalam lingkungan 50-an yang menyaksikan kejadian itu kemudian meminta Ozawa memberi penjelasan.
“Burung merpati harus beredar dari laluan,” jawab Ozawa sebelum melarikan diri dari lokasi kejadian.
Selepas ditahan, suspek mengaku dakwaan itu dengan berkata: “Jalan raya adalah untuk manusia. Burung merpati perlu mengelak daripada dilanggar kereta.” – AGENSI