ARAU – Seorang pembantu kedai makan berdepan detik cemas apabila disamun dan diacukan sebilah pisau pada leher oleh rakan serumah dalam kejadian di Jejawi di sini semalam.
Dalam kejadian kira-kira pukul 7 malam itu, lelaki berusia 27 tahun didatangi suspek yang secara tiba-tiba meluru masuk ke dalam rumah.
Ketua Polis Daerah Arau, Superintendan Ahmad Mohsin Md. Rodi berkata, suspek berusia 28 tahun itu seterusnya bertindak mengacukan sebilah pisau pada leher mangsa sambil mengugut akan menikamnya sekiranya mangsa dan rakan membuat bising.
“Suspek turut menumbuk dan menendang muka serta kepala mangsa beberapa kali selain turut mengambil wang tunai sebanyak RM51 dari dompet milik mangsa. Mangsa kemudian membuat laporan di balai polis berhubung kejadian,” katanya di sini hari ini.
Katanya, punca kejadian dipercayai akibat suspek yang bekerja sebagai buruh kontrak mengesyaki mangsa telah menggunakan ilmu hitam terhadap dirinya.
“Mangsa dapat mengenal pasti suspek dan ketika itu suspek juga dipercayai di bawah pengaruh dadah,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE