fbpx

Konflik Palestin-Israel: AS jangka Israel tukar taktik serangan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
KERETA kebal tentera Israel bergerak di sempadan Gaza kelmarin. - AFP

WASHINGTON – Pegawai-pegawai Amerika Syarikat (AS) menjangkakan fasa pencerobohan tentera darat Israel ke atas Semenanjung Gaza yang menyasarkan hujung selatan wilayah itu akan berlangsung selama beberapa minggu lagi sebelum berakhir pada Januari tahun depan.

Saluran berita CNN melaporkan, menjelang Januari, serangan mungkin akan berubah kepada strategi intensiti yang lebih rendah dengan menyasarkan para pejuang Hamas dan pemimpin tertentu.

“Namun, ketika perang memasuki fasa di kawasan baharu di selatan Gaza, White House amat bimbang mengenai bagaimana operasi askar Israel akan berlangsung dalam beberapa minggu akan datang,” kata seorang pegawai kanan pentadbiran AS.

Menurutnya, Washington telah memberi amaran tegas kepada Israel bahawa ia tidak boleh menggunakan taktik pemusnah seperti di utara dan mesti melakukan pelbagai cara untuk mengehadkan korban awam.

AS turut memberitahu Israel bahawa apabila pendapat global semakin menentang kempen ketenteraannya yang telah membunuh beribu-ribu orang awam, Zionis perlu mengekalkan sokongan masyarakat antarabangsa yang semakin berkurangan.

Dalam amaran secara terbuka baru-baru ini, Setiausaha Pertahanan AS, Lloyd Austin menegaskan bahawa Israel hanya boleh menang dalam peperangan itu tetapi dengan melindungi orang awam.

Walaupun pegawai kanan pentadbiran Presiden Joe Biden secara terbuka menyeru Israel agar meminimumkan kematian orang awam, Washington menunjukkan sikap berhati-hati bagi mengelak daripada menegur mana-mana taktik Israel secara langsung.

Para pegawai AS percaya adalah lebih berkesan untuk menasihati Israel secara senyap-senyap tanpa pengetahuan dunia berbanding memalukan Rejim Zionis dengan mengkritiknya secara lantang.

Sebelum ini, para pegawai Israel menyatakan bahawa sebahagian daripada matlamat akhir Rejim Zionis adalah untuk melemahkan Hamas sehingga menyebabkan kumpulan itu tidak boleh mengulangi serangan yang dilancarkan pada 7 Oktober lalu. – AGENSI

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI