fbpx

Januari penentu nasib Tze Yong ke Olimpik

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
TZE YONG dijadualkan menghadapi Terbuka Malaysia, Terbuka India, Indonesia Masters dan Thailand Masters sepanjang saingan bulan depan.

SAINGAN bagi musim 2024 belum pun bermula, namun perseorangan lelaki negara, Ng Tze Yong sudah melakukan persiapan menjelang Kejohanan Badminton Terbuka Malaysia bermula 9 hingga 14 Januari ini.

Selain Terbuka Malaysia, jurulatih perseorangan lelaki kebangsaan, Hendrawan berkata, tiga lagi kejohanan sepanjang bulan depan bakal menjadi penentu kepada perancangan Tze Yong bagi kempen 2024.

Sekiranya prestasi pemain No.15 dunia itu memberangsangkan pada empat kejohanan awal, pihak kejurulatihan mungkin mempertimbangkan untuk mengurangkan jumlah kejohanan yang bakal disertainya nanti.

Tze Yong tiada cara lain selain melayakkan diri ke separuh akhir atau final dalam setiap kejohanan untuk layak ke Sukan ­Olimpik Paris 2024.

“Semua orang tahu kekura­ngan dia (Tze Yong) dari segi kecergasan dan kekuatan. Ada waktu rehat lima minggu, kami ambil keputusan untuk mulakan latihan selepas dia berehat tiga hari dan akan diteruskan hingga Terbuka Malaysia.

“Dia sudah pun berdepan proses layak ke suku akhir, separuh akhir dan final, cuma belum menjadi juara. Kalau boleh menjadi juara, sudah tentu peluang beraksi di Olimpik lebih cerah.

“Jika empat kejohanan awal hasilnya bagus, mungkin boleh kurangkan kejohanan-kejohanan akan datang,” kata Hendrawan di Akademi Badminton Malaysia (ABM), Bukit Kiara semalam.

Bulan depan, Tze Yong akan mengharungi empat kejohanan iaitu Terbuka Malaysia, Terbuka India, Indonesia Masters dan Thailand Masters yang menjadi aksi kelayakan ke Sukan Olimpik.

Dalam pada itu, Hendrawan yang juga bekas juara dunia meng­anggap Terbuka Perancis, All England dan Kejohanan Badminton Asia (BAC) yang merupakan tiga aksi terakhir kempen kelayakan Olimpik sebagai kejohanan penting buat Tze Yong.

“Untuk Mac nanti, dia juga akan menyertai kejohanan Terbuka Perancis dan All England yang boleh dikatakan sangat penting. Paling akhir (kelayakan Olimpik) nanti adalah BAC,” ujarnya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI