fbpx

Dua rakyat asing antara 9 banduan akhir terlepas hukuman mati

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar hiasan

PUTRAJAYA – Dua lelaki masing-masing warganegara Ghana dan Liberia merupakan antara sembilan banduan akhir yang terlepas hukuman mati apabila Mahkamah Persekutuan hari ini menggantikannya dengan penjara 30 tahun atas pelbagai kesalahan pengedaran dadah.

Panel lima hakim diketuai oleh Ketua Hakim Negara Tun Tengku Maimun Tuan Mat memutuskan demikian secara sebulat suara selepas membenarkan permohonan semakan mereka yang berumur di antara 48 tahun dan 76 tahun.

Mereka terdiri daripada Emmanuel Yaw Tieku (rakyat Ghana), 63, Mohd. Zaiham Mislan, 48, Mohamad Che Tam, 62, Nobies Weah Ezike, (rakyat Liberia), 52, Faiz Khairudin, 53, Siew Yoke Keong, 56, Wong Hong, 68, Idris Chin Abdullah @ Jun Lam, 76, dan Phung Geok Hoay, 70.

Mahkamah turut memerintahkan Mohd. Zaiham menjalani 12 kali sebatan manakala yang lain terlepas hukuman tersebut kerana berumur melebihi 50 tahun. Mereka telah ditahan di penjara di antara tempoh 17 tahun dan 26 tahun.

Turut bersidang, Presiden Mahkamah Rayuan Tan Sri Abang Iskandar Abang Hashim, Hakim Besar Malaya Tan Sri Mohamad Zabidin Mohd. Diah, Datuk Mary Lim Thiam Suan dan Datuk Abu Bakar Jais.

Kesemua sembilan banduan akhir itu dijatuhi hukuman mati oleh Mahkamah Tinggi berasingan atas kesalahan mengedar heroin di antara 24.27 gram dan 515.7 gram serta kanabis seberat 45,565 gram pada waktu dan tempat berbeza.

Pada prosiding hari ini, Timbalan-Timbalan Pendakwa Raya Datuk Yusaini Amer Abdul Karim, Tetralina Ahmed Fauzi, Ng Siew Wee dan P. Sarulatha tidak membantah permohonan semakan itu.

Pasukan peguam bela antaranya terdiri daripada Abdul Rashid Ismail dan Datuk Seri K. Kumaraendran memohon hukuman mati terhadap anak guam masing-masing diketepikan dan digantikan dengan hukuman penjara seumur hidup.

Prosiding hari ini merupakan sebahagian daripada 978 permohonan yang dikemukakan oleh 1,020 banduan hukuman mati dan penjara sepanjang hayat, setakat bulan lalu. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI