MARANG – Seorang doktor klinik swasta dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini hari ini atas 10 pertuduhan membuat catatan dan dokumen palsu berkaitan sijil vaksinasi Covid-19 pada dua tahun lalu.
Tertuduh, Muhamad Reze Rashid, 52, membuat pengakuan tidak bersalah sejurus kesemua pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Zur Azureen Zainalkefli.
Berdasarkan pertuduhan pertama, Muhamad Reze didakwa membuat catatan palsu berhubung status penerimaan vaksin Covid-19 kepada seorang lelaki berumur 44 tahun.
Tertuduh juga didakwa atas pertuduhan sama melibatkan empat individu lain.
Dia didakwa mengikut Seksyen 477A Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga tujuh tahun atau denda atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.
Muhamad Reze juga didakwa membuat dokumen palsu dengan menyempurnakan kad peringatan vaksin setiap individu terlibat.
Dia didakwa mengikut Seksyen 464(a) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum dua tahun atau denda atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.
Kesemua perbuatan berkenaan didakwa dilakukan tertuduh di sebuah klinik swasta di Kampung Rhu Rendang di sini antara 7 hingga 23 Disember 2021. – KOSMO! ONLINE