fbpx

Cuepacs minta kerajaan segerakan kenaikan gaji penjawat awam

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Adnan Mat.

PETALING JAYA – Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) menggesa kerajaan untuk melakukan penyelarasan segera bagi menaikkan gaji penjawat awam berbanding menunggu sehingga 2025 seperti yang ditetapkan melalui kajian Sistem Saraan Perkhidmatan Awam (SSPA).

Presidennya, Datuk Adnan Mat berkata, berdasarkan tempoh yang diberikan, kajian SSPA yang bermula Julai 2023 dijangka dapat dimuktamadkan pada Oktober 2024, manakala pelaksanaannya hanya akan dibuat pada 2025.

Menurut beliau, Cuepacs berpendapat tempoh itu terlalu lama dan perlu disegerakan bagi membantu kakitangan awam yang menghadapi peningkatan kos sara hidup semasa.

“Sudah hampir belasan tahun tiada sebarang bentuk penyelarasan dan kenaikan gaji secara drastik diterima penjawat awam.

“Situasi itu menyebabkan ada penjawat awam yang tertekan dan tidak mampu untuk menampung kos sara hidup yang sentiasa meningkat saban tahun terutama mereka yang tinggal di bandar besar.

“Pada dasarnya, Cuepacs menghargai komitmen kerajaan dalam usaha untuk menyelaraskan semula gaji penjawat awam,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Tambahnya, Cuepacs juga memahami bahawa kerajaan dilihat tidak mempunyai kemampuan kewangan apatah lagi sudah mengumumkan bayaran insentif RM2,000 yang akan diterima pada Februari 2024.

“Jumlah RM2,000 yang dinyatakan melalui Belanjawan 2024 itu adalah bantuan khas kewangan bukan bayaran insentif awal SSPA.

“Sekiranya kerajaan benar-benar mahu membuat penyelarasan gaji, sepatutnya beri kenaikan gaji yang kekal semasa belanjawan tersebut.

“Pemberian bantuan khas kewangan sebenarnya hanya penyelesaian jangka pendek dan tidak memberi kesan kepada kenaikan gaji secara berterusan,” ujarnya.

Tambah beliau, sekiranya isu kewangan menjadi kekangan, kerajaan boleh menimbang untuk memberikan kenaikan dalam bentuk elaun lain atau elaun khas sementara menunggu kenaikan gaji melalui SSPA baharu.

“Selepas SSPA dimuktamadkan kelak dan berlakunya kenaikan gaji, maka kerajaan boleh memansuhkan bayaran elaun sementara tersebut.

“Penjawat awam ketika ini sudah lama menunggu gaji bersih (take home pay) mereka dapat ditingkatkan.

“Adalah menjadi harapan warga penjawat awam untuk menikmati kenaikan gaji dengan segera supaya mereka mampu berhadapan dengan situasi yang sukar ketika ini,” jelasnya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI